Shafee dibenar pindah kes RM9.5 juta ke Mahkamah Tinggi

Muhammad Shafee Abdullah mengaku tidak bersalah terhadap 4 pertuduhan pengubahan wang, bulan lalu.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memindahkan kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta ke mahkamah lebih tinggi.

Hakim, Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu kerana tiada bantahan daripada timbalan pendakwa raya, Afzainizam Abdul Aziz.

“Kalau kedua-dua belah pihak setuju, tidak ada masalah.

“Permohonan dibenarkan tanpa bantahan dari pihak pendakwa raya,” kata Azman.

Afzainizam berkata, pihaknya menulis surat kepada peguam Shafee pada 28 September lalu bagi memaklumkan mereka tiada bantahan terhadap permohonan itu.

“Jadi, kami tunggu perintah bertulis dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Sesyen (untuk memindahkan kes itu).”

Shafee diwakili peguam, Harvinderjit Singh.

Bulan lalu, Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap 4 pertuduhan pengubahan wang di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui 2 keping cek daripada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak antara Ogos 2013 dan Januari 2014.

Beliau turut didakwa membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi jumlah sama antara Mac dan Jun 2015.

Shafee kemudiannya membayar ikat jamin RM1 juta dan memaklumkan beliau mempertimbangkan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi yang lebih sesuai mendengar kes itu.

Pembayaran RM9.5 juta kepada Shafee dibuat ketika Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan tuntutan untuk menggugurkan sabitan liwatnya pada 2015.

November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan itu kerana Anwar tidak memberi sebarang keterangan untuk menyokong tuduhannya.

Anwar baru-baru ini mendedahkan kandungan afidavit seorang pegawai di Jabatan Peguam Negara yang mengesahkan Najib memasukkan RM9.5 juta ke akaun bank Shafee.

Shafee yang dilantik khas oleh kerajaan untuk mengetuai pendakwaan terhadap Anwar berkata, peranannya sebagai pendakwa raya secara fiat dalam kes itu hanya untuk berhujah bagi rayuan kerajaan berdasarkan nota prosiding diambil semasa perbicaraan.