Azis: Saya hanya cakap realiti, tapi tak setuju polis guna Akta Hasutan

Azis Jamman berkata, pemimpin PH tidak wajar mengkritiknya kerana hakikatnya Akta Hasutan belum dimansuhkan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, beliau tidak setuju Akta Hasutan digunakan terhadap mana-mana individu, termasuk adik seorang pemimpin Umno.

“Apabila polis mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan terhadap adik Datuk Lokman Noor Adam, itu tindakan polis, kita tidak suruh dan saya tidak pula mengiyakan perbuatannya.

“Saya sendiri agak terkejut dan tanya ketua polis negara kenapa gunakan akta itu, sedangkan ada akta lain yang boleh diguna pakai,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata demikian selepas penasihat Lawyers for Liberty (LFL), N Surendran membidasnya tidak sesuai menjadi timbalan menteri kerana mempertahankan polis menggunakan Akta Hasutan menahan Azman Noor Adam, adik Lokman yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno.

“Mengarut bercakap mengenai SOP (prosedur operasi standard) polis. Beliau patut mendapatkan salinan manifesto Pakatan Harapan (PH) dan membacanya,” tulisnya dalam Twitter.

Ia selepas Azis dilaporkan berkata, akta kontroversi itu akan terus digunakan sehingga ia dipinda atau dimansuhkan.

Katanya, polis sekadar mematuhi SOP ketika menahan Azman Selasa lalu, selepas menerima laporan mendakwa beliau memuat naik sekeping gambar yang menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di media sosial.

Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh pula berkata, kenyataan Azis mengenai Akta Hasutan mencerminkan Putrajaya kurang keinginan politik dalam menunaikan satu daripada janji pilihan rayanya, iaitu pemansuhan undang-undang drakonian.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri sepatutnya mengumumkan sumber kerajaan tidak akan dibazirkan ke atas kesalahan yang mungkin lapuk dalam masa terdekat.

Azis berkata, pemimpin PH tidak wajar mengkritiknya kerana hakikatnya Akta Hasutan belum dimansuhkan.

“Saya tidak pernah kata saya sokong Akta Hasutan. Apa yang dimaksudkan adalah akta itu masih ada kerana belum dibubarkan. Kepada rakan-rakan dalam PH, jangan melenting, mintalah penjelasan daripada saya dahulu.

“Realitinya akta itu masih ada. Takkanlah apabila media tanya saya adakah akta itu masih wujud, saya katakan tidak wujud pula, sedangkan Kabinet sendiri tidak pernah mengumumkan apa-apa.”

Sementara itu, bekas ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, tidak adil Surendran membidas Azis tidak layak menjadi timbalan menteri kerana PH sudah berjanji akan memansuhkan akta itu.

“Manifesto bukannya undang-undang, tidak adil untuk mengkritiknya hanya disebabkan manifesto PH.”

Beliau sebaliknya berkata, Surendran yang mengarut.

“Penjelasan timbalan menteri itu betul dari sudut pandangan kerajaan.

“Ia mungkin tidak betul dari segi politik untuk NGO, tetapi ia tidak bermakna seseorang itu tidak layak memegang jawatan dalam kerajaan apabila kenyataannya tidak seiring NGO,” katanya merujuk LFL.

Beliau berkata, LFL sepatutnya terus berkempen untuk akta itu dimansuhkan.

Sebelum pilihan raya umum ke-14, PH berjanji akan memansuhkan Akta Hasutan, Akta Majlis Keselamatan Negara dan Akta Anti-berita Tidak Benar jika menang pada 9 Mei lalu.