Bank Negara: Tiada kemelesetan ekonomi dalam 1 tahun

KUALA LUMPUR: Malaysia berkemungkinan besar tidak berdepan kemelesetan ekonomi dalam 12 bulan akan datang, kata Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Marzunisham Omar.

Beliau berkata, persekitaran ekonomi “positif” dalam pasaran domestik.

“Sentimen (perniagaan) masih amat kuat, begitu juga pemacu pertumbuhan ekonomi dan kepenggunaan swasta, serta perniagaan adalah optimis,” katanya kepada FMT di luar persidangan anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis).

“Malah, ekonomi global juga baik di sebalik berita yang kita dengar.”

Marzunisham berkata, badan antarabangsa bereputasi meletakkan pertumbuhan ekonomi global sekitar 3.5% hingga 3.7%.

“Berdasarkan keadaan luaran dan domestik, saya pasti kita tidak menuju kemelesetan dalam 6 hingga 12 bulan akan datang.”

Pengurus Negara Bank Dunia di Malaysia, Firas Raad bersetuju Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan.

“Saya rasa pertumbuhan akan sederhana, tetapi unjuran untuk pertumbuhan Malaysia sekitar 4% hingga 5%. Kami nampak pertumbuhan berdasarkan unjuran Bank Negara merosot sedikit pada suku ke-2, tetapi masih ada banyak pemacu tahun ini.

“Jadi, ia akan merosot sedikit, tetapi tidak banyak.”

Awal tahun ini, Bank Negara Malaysia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini kepada 5% berbanding unjuran awal 5.5 hingga 6% disebabkan pertumbuhan lebih perlahan.