Berdepan 17 pertuduhan, Rosmah bayar ikat jamin RM2 juta

Rosmah Mansor dikawal ketat ketika tiba di mahkamah. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 17 pertuduhan melibatkan RM7.1 juta berhubung aktiviti pengubahan wang haram.

Rosmah membuat pengakuan itu dengan yakin selepas semua pertuduhan selesai dibaca kepadanya oleh 2 jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau dituduh menerima bayaran berjumlah RM500,000 pada 2013 – RM200,000 pada 4 Disember, RM100,000 pada 16 Disember dan RM200,000 pada 23 Disember.

Beliau juga dikatakan menerima RM100,000 pada 2 Januari 2014, RM100,000 pada 29 Januari, RM200,000 pada 28 Februari, RM100,000 pada 14 Mac dan RM100,000 pada 8 April.

Beliau dituduh terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan menerima 8 transaksi berjumlah RM1.64 juta ke dalam akaun Affin Bank miliknya.

Dari 21 Januari hingga 12 Disember 2015, beliau dituduh membenarkan 127 transaksi bernilai RM3.853 juta ke dalam akaun yang sama.

Dari 28 Jan hingga 7 Nov, 2016, beliau dikatakan menerima transaksi sebanyak RM510,000.

Pada 29 Mac, beliau dikatakan menerima 5 urus niaga berjumlah RM30,000.

Untuk pertuduhan berikutnya, beliau dituduh gagal memfailkan penyata cukai bagi wang yang diterima antara 2013 dan 2017.

Dia dituduh gagal mengisytiharkan pulangan cukai sebanyak RM500,000 untuk 2014, RM2.24 juta untuk 2015, RM3.853 juta untuk 2016, RM510,000 untuk 2017 dan RM30,000 untuk 2018.

Jika didapati bersalah, beliau akan dikenakan denda sebanyak RM5 juta atau lebih dan penjara 5 hingga 15 tahun di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLAFTA) 2001.

Beliau bagaimanapun kelihatan tenang ketika pertuduhan itu dibacakan. Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM2 juta dengan 2 penjamin.

Azura turut menetapkan syarat-syarat lain, termasuk pasport perlu diserahkan kepada pihak mahkamah sehingga kes selesai.

Wang jaminan berkenaan dibenar dibayar secara berperingkat, iaitu RM500,000 perlu dibayar hari ini, manakala bakinya dibuat sebelum 11 Oktober 2018.

Sebutan semula kes pada 8 November depan.