Bersih: PH lakukan paling banyak kesalahan di Balakong, Seri Setia

Shahrul Aman Mohd Saari (tiga dari kiri) bersama ahli Bersih memegang laporan PRK Seri Setia dan Balakong.

PETALING JAYA: Bersih 2.0 berkata, Pakatan Harapan (PH) dilapor melakukan paling banyak kesalahan pilihan raya dalam pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia dan Balakong berbanding lawan mereka.

Pemangku pengerusinya, Shahrul Aman Mohd Saari berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu diberi kuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan pilihan raya.

“Untuk penyelesaian jangka panjang, saya harap SPR akan diberi kuasa untuk menyiasat dan mendakwa orang seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ketika ini, mereka tiada kuasa berbuat demikian,” katanya dalam sidang media di pejabat Bersih, hari ini.

Shahrul berkata, kali terakhir Bersih membuat laporan berhubung isu itu, tiada badan khas yang menyelesaikannya.

Beliau berkata, masalah utama ialah tidak latihan mencukupi dan berkesan untuk petugas pilihan raya, selain penguatkuasaan undang-undang yang tidak mencukupi.

Bagi PRK Seri Setia dan Balakong, katanya, masalah utama ialah kempen PAS, MCA dan PH, walaupun mereka berjanji untuk pilihan raya bersih.

Bersih dalam laporan pemerhatian PRK Seri Setia berkata, PH melakukan 5 kesalahan, manakala MCA dan PAS masing-masing 4 kesalahan.

Antara kesalahan PH di Seri Setia dan Balakong ialah penyalahgunaan aset, sumber, agensi dan program kerajaan untuk meraih undi.

Tiga menteri – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada PKR, Mohamad Sabu dan Dr Dzulkefly Ahmad daripada Amanah – dilapor menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen di Balakong.

Kesalahan lain yang dilakukan PH termasuk memberi hadiah dan menyediakan makanan percuma untuk mendapatkan undi.

Calon DAP, Wong Siew Ki turut dilihat memakai baju mempunyai logo parti ketika memasuki pusat mengundi.

Calon MCA pula dilaporkan menyediakan makanan percuma dan memberi hadiah kepada rakyat.

Calon PAS di Seri Setia, Dr Halimah Ali juga dilapor mengamalkan taktik sama seperti MCA yang didapati berkempen melalui Facebooknya pada hari mengundi.

Shahrul menggesa semua parti politik berhenti memberi hadiah, menyalahgunakan aset dan sumber kerajaan untuk meraih undi.

“Ini menjadi budaya ketika musim pilihan raya. Mereka tidak patut mengulangi budaya kerajaan terdahulu.

“Kami mahu pilihan raya lebih bersih pada masa depan.”