Datuk bandar Haiti didera pasangan

Nice Simon yang lebam di wajah dan badan berkata, pasangannya mencekik, menampar, menendang dan menumbuk kepalanya. (Gambar AFP)

PORT-AU-PRINCE: Susulan penularan gambar wajah dan tubuh lebam di media sosial, seorang datuk bandar Haiti yang juga bekas pelakon terkenal di negara itu mendedahkan beliau ialah mangsa penderaan rumah tangga ketika memulakan perbincangan di peringkat nasional berkaitan keganasan seksual.

“Kita wanita apabila perkara seperti itu berlaku, kita yang akan berasa malu. Kita tidak mahu meluahkannya kerana kita berasa segan, kita malu,” kata Nice Simon yang juga datuk bandar Tabarre, sebahagian daripada kawasan metropolitan Port-au-Prince.

“Bagaimanapun, hari ini saya tidak lagi berasa malu. Perasaan malu itu sepatutnya dirasai orang yang melakukan keganasan tersebut.”

Dalam satu sidang akhbar pada Rabu, wanita berusia 40 tahun itu menceritakan secara terperinci serangan yang didakwa dilakukan pasangannya 2 hari sebelum itu.

“Dia telah mencekik dan menampar saya, selain menumbuk kepala saya. Saya ingat saya akan mati,” kata Simon yang terkenal sebagai bintang filem Haiti sebelum menjadi datuk bandar pada 2015.

“Saya terbaring di lantai dan dia menendang saya,” katanya sambil melorotkan zip pakaian untuk menunjukkan kesan lebam yang memenuhi belakang badannya.

Simon berkata, beliau akhirnya melarikan diri dari rumah mereka dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital untuk memperoleh sijil perubatan bagi memfailkan aduan.

Gambar kecederaannya tersebar di media sosial dan mencetuskan perdebatan berkaitan keganasan rumah tangga di negara yang masih menganggap isu itu perkara biasa serta diterima ramai.

Bagaimanapun, reaksi dalam talian terhadap hantaran Simon, membabitkan komen menyatakan beliau mungkin menjadi punca keganasan itu dan ada juga yang bersimpati, menggambarkan skala cabaran pada masa depan.

Kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan Haiti dan beberapa pertubuhan antarabangsa pada Julai lalu mendapati 17% wanita dan 11% lelaki di negara itu percaya lelaki berhak memukul pasangannya.