Denmark cadang haram kenderaan guna petrol, diesel menjelang 2030

Rancangan mengharamkan kenderaan berenjin pembakaran dalaman perlu diluluskan oleh Parlimen, dan usul itu akan diundi minggu depan. (Gambar Reuters)

COPENHAGEN: Denmark akan mengharamkan penjualan kereta baru yang menggunakan enjin pembakaran dalaman menjelang 2030, lapor United Press International (UPI) memetik laporan media tempatan Eurativ berhubung pengumuman kerajaan negara itu Selasa.

Kereta menggunakan bahan bakar diesel dan petrol di Denmark perlu menjadi sejarah kerana masa depan adalah berasaskan teknologi hijau, kata Perdana Menteri Denmark Lars Løkke Rasmussen.

“Dalam tempoh 12 tahun akan datang, kami akan melarang penjualan kereta baru yang menggunakan diesel dan petrol, dan dalam tempoh 17 tahun, setiap kereta baru di Denmark hendaklah terdiri daripada kereta elektrik atau kenderaan lain yang mempunyai tahap pelepasan sifar karbon,” kata Rasmussen.

Rancangan untuk mengharamkan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman masih perlu diluluskan oleh Parlimen, dan usul itu akan diundi minggu depan.

Jika diluluskan, Denmark bakal menjadi antara negara yang komited untuk menghapuskan kenderaan berkuasa petrol dalam tempoh 25 tahun akan datang.

Bagaimanapun, Denmark agak lambat menerima pakai kereta elektrik. Daripada sejumlah 2.5 juta kereta persendirian yang berada di jalan raya Denmark, hanya 9,000 adalah kenderaan elektrik.

Negara lain yang membuat ketetapan serupa termasuk Norway (2025) serta Perancis, Belanda dan Ireland (2030).

Israel bercadang mengharamkan import kenderaan berkuasa petrol menjelang 2030 manakala India telah menyatakan ia akan berbuat demikian dalam tempoh yang sama jika keadaan ekonominya mengizinkan.

Beberapa bandar utara turut berharap dapat melaksanakan larangan itu termasuk Athens, Madrid dan Bandaraya Mexico.