Enam anggota bomba terkorban ‘syahid’, kata Mufti

Zulkifli berkata, mereka lebih mulia bukan sahaja kerana mati lemas, tetapi berusaha menolong dan membantu mangsa sehingga terkorban. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kematian 6 anggota Bomba dan Penyelamat ketika menjalankan operasi SAR menyelamat seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong malam tadi dianggap mati syahid.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, mereka adalah insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab yang diamanahkan, terutamanya dalam kecemasan hingga nafas yang terakhir.

Katanya, kematian 6 anggota bomba berkenaan kerana ingin menyelamatkan mangsa amat menginsafkan dan memberi makna yang mendalam pada maksud pengorbanan dalam tugas.

“Mereka jauh lebih mulia bukan sahaja kerana mati lemas, tetapi berusaha menolong dan membantu mangsa sehingga terkorban.

“Kami iktibarkan mereka sebagai syahid berasaskan kepada nas hadis yang bermaksud, “orang yang mati syahid ada 5 golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di Jalan Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau melahirkan rasa dukacita susulan tragedi yang berlaku dan juga bangga atas semangat yang ditunjukkan pihak yang terlibat.

“Syabas Bomba Malaysia dan juga kepada mereka yang bertindak seperti syuhada, sementara kepada ahli keluarga, bertabahlah.

“Kepada kerajaan Malaysia, kami syorkan agar diberikan anugerah kecemerlangan dan dinaikkan pangkat mereka untuk memberi sedikit kelegaan kepada ahli keluarga. Inilah staf kerajaan dan pekerja di era Malaysia baru yang sanggup berkorban apa sahaja.

Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada 4 anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.