Ethiopia: 44 maut akibat pertempuran etnik, puluhan ribu larikan diri

Puluhan ribu penduduk melarikan diri dari rumah masing-masing dan pasukan keselamatan dikerahkan mengawal lokasi kejadian.

ADDIS ABABA: Seramai 44 orang maut dalam pertempuran antara kumpulan etnik di barat Ethiopia, lapor media tempatan.

Pertempuran berlaku di sempadan antara tengah Oromia dan wilayah barat Benishangul-Gumuz.

Keganasan bermula apabila pegawai dari Benishangul-Gumuz ditembak mati oleh lelaki bersenjata tidak dikenali, kata ketua perhubungan komunikasi wilayah, Zelalem Jaleta.

Puluhan ribu penduduk terpaksa melarikan diri dari rumah masing-masing dan anggota pasukan keselamatan dikerahkan mengawal lokasi kejadian.

Benishangul-Gumuz satu daripada 9 wilayah di Ethiopia, yang merentasi sempadan Sudan.

Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (OCHA), mengatakan kira-kira 70,000 orang berpindah akibat gelombang keganasan itu yang tercetus pada Rabu lalu, menyaksikan 4 pegawai tinggi turut maut.

Keganasan terus tercetus meskipun perdana menteri Ethiopia yang baru Abiy Ahmed mendapat pujian seluruh dunia kerana agenda reformasinya, ia secara tidak langsung merosakkan reputasi beliau.