Hormat terakhir, salat jenazah untuk 6 anggota penyelamat di Balai Bomba

Jenazah akan dihantar ke kampung halaman masing-masing anggota dan urusan pengkebumian diuruskan oleh Jabatan Bomba negeri. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Enam jenazah anggota bomba yang lemas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang lemas di Lombong Taman Putra Perdana malam tadi, disembahyangkan di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 di sini kira-kira pukul 9.00 pagi ini.

Lebih 500 ahli keluarga, pegawai dan anggota bomba serta kenalan rapat hadir untuk bersama-sama menunaikan sembahyang jenazah.

Turut sama menunaikan sembahyang jenazah ialah Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohamad Hamdan Wahid, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Mohammad Mentek, bekas menteri KPKT Tan Sri Noh Omar dan Exco kerajaan Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

Sembahyang jenazah itu diimamkan oleh Penguasa Bomba Unit Agama Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Mohd Luqman Ramli.

Terdahulu, kesemua jenazah itu tiba di balai bomba kira-kira pukul 8.40 pagi dari Hospital Serdang.

Mohamad Hamdan dalam ucapannya melahirkan rasa sedih berhubung kejadian yang menimpa 6 anggota bomba berkenaan.

Beliau berkata kehilangan 6 anggota itu turut dirasai oleh semua warga JBPM dan pihaknya turut merakamkan penghargaan di atas khidmat bakti yang disumbangkan oleh kesemua anggota berkenaan sepanjang perkhidmatan mereka.

“Saya mewakili keluarga anggota bomba ini juga memohon maaf atas perbuatan mereka sama ada disengajakan atau tidak.

“Kita berharap urusan pengkebumian mangsa selepas ini akan berjalan lancar dan sempurna… jenazah ini akan dihantar ke kampung halaman masing-masing dan urusan pengkebumian itu akan diuruskan oleh jabatan bomba peringkat negeri,” katanya.