Ideas: Ini sebab kontraktor China jadi pilihan berbanding syarikat tempatan

Laurence Todd berkata, peluang diberikan kepada syarikat tempatan serta PKS di peringkat kontraktor dan subkontraktor adalah terhad.

KUALA LUMPUR: Seorang pakar berkata, sebab utama kontraktor dan subkontraktor China menggunakan khidmat syarikat negara itu, khasnya dalam projek pembinaan kerana kewangan, kemahiran dan budaya kerja.

Pengarah Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Laurence Todd berkata, walaupun rakyat Malaysia boleh menyertai projek itu sebagai pemegang saham utama, tetapi peluang yang diberikan kepada syarikat tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di peringkat kontraktor dan subkontraktor adalah terhad.

Beliau membentangkan penemuan awal daripada laporan bertajuk “Impak pelaburan China di Malaysia ke atas ekonomi tempatan” yang dihasilkannya bersama Meghan Slattery.

Dalam laporan itu, Todd berkata, ada syarikat tempatan yang mendapat kontrak di peringkat kontraktor.

Bagaimanapun, katanya, pertumbuhan syarikat China di Malaysia adalah cepat dan ini mewujudkan saingan sengit antara kontraktor China dan Malaysia.

Di peringkat subkontraktor, beliau berkata, penyertaan syarikat tempatan lebih sukar dikenal pasti.

“Sekali lagi gambarannya bercampur-campur. Masih ada kes kontraktor China menggunakan khidmat syarikat tempatan.”

Bagaimanapun, beliau dalam laporannya mendakwa syarikat China lebih digemari.

Katanya, syarikat China mungkin tidak memilih buruh tempatan kerana kurang kemahiran atau kemampuan untuk melaksanakan projek berskala besar.

Laporannya menyatakan syarikat dan pekerja tempatan tidak dapat menyesuaikan diri dengan amalan serta budaya kerja kontraktor China, termasuk masa kerja dan kecekapan mereka.

Katanya, alasan lain ialah keadaan kewangan PKS lebih lemah daripada syarikat China.

Beliau berkata, PKS tempatan mungkin tidak mampu menyaingi syarikat China kerana margin rendah akibat projek penstrukturan berdaya saing tinggi yang dilakukan kontraktor China.