Jangan usir lelaki Syria terkandas di klia2, kata kumpulan hak asasi

Hassan Al Kontar terkandas di KLIA sejak 7 Mac lalu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi manusia mengkritik Jabatan Imigresen kerana menahan lelaki Syria yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan merancang untuk mengusirnya pulang ke negera asal, sebaliknya meminta lelaki itu dilayan sebagai pencari suaka.

Bercakap kepada FMT, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya berkata meskipun Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), ia mesti menghormati prinsip “non-refoulement” dengan tidak mengusir Hassan Al Kontar ke Syria.

Prinsip “non-refoulement” mengharam kerajaan daripada mengusir rakyat ke tempat di mana mereka berdepan risiko dianiaya, diseksa atau dihukum tanpa perikemanusiaan.

Hassan ditahan pihak berkuasa selepas terkandas di KLIA selama 7 bulan sejak 7 Mac, apabila dia dihalang menaiki penerbangan ke Ecuador.

Hassan didakwa dikehendaki pihak berkuasa Syria kerana enggan menjadi tentera kerana dia tidak mahu terlibat dengan perang saudara yang tercetus di negara itu. Bekas jurujual itu sebelum ini bekerja di UAE tetapi dihantar pulang ke Malaysia kerana visanya tidak diperbaharui.

Walaupun dia memohon status pelarian di Kanada, Latheefa berkata Hassan sepatutnya memohon suaka dari Malaysia.

“Apa yang jelas dia adalah pencari suaka yang tidak boleh dihantar pulang. Kami menggesa Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri membebaskannya dan memudahkan usahanya untuk meninggalkan negara ini.

“Bercakap dengan Suruhanjaya Tinggi Kanada dan cuba selesaikan isu ini. Dia melarikan diri untuk melindungi nyawanya, bukan kerana dia pelarian dalam perjalanan.”

Latheefa berkata, Jabatan Imigresen tidak boleh memandang Hassan sebagai pendatang tanpa izin, sambil menambah untuk melakukannya ia akan digambarkan sebagai tidak sensitif terhadap kewajipan antarabangsa yang sah.

Pengkritik sosial terkenal, Chandra Muzaffar, berkata Malaysia sekurang-kurangnya perlu menyediakan peruntukan untuk membantu mereka yang mencari status pelarian yang sah.

Katanya, beliau bersama-sama kumpulan hak asasi manusia yang lain, sudah lama menyeru kerajaan meratifikasi UNHCR.

Bagaimanapun, Chandra berkata Hassan berkemungkinan dihantar pulang kerana kerajaan Syria masih berfungsi dan Malaysia tidak dapat menolak tuntutan Syria kerana hubungan diplomatik.

“Undang-undang mesti diikuti tetapi kita boleh memohon supaya dia diperlakukan secara perikemanusiaan. Inilah sebabnya mengapa kita mesti meratifikasi UNHCR. Status quo tidak boleh kekal.”

Semalam, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata polis menahan Hassan yang bertindak memalukan Malaysia melalui pelbagai kenyataan di media sosial sejak memasuki Malaysia 7 Mac lalu.