Kajian: Jakarta jadi bandar mega paling ramai penduduk pada 2030

Menurut laporan Euromonitor International, Jakarta ialah bandar raya membangun pertama yang diberi gelaran bandar raya mega terbesar dunia dengan 35.6 juta penduduk pada 2030. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Jakarta, ibu kota Indonesia akan mengatasi Tokyo sebagai bandar raya mega paling ramai penduduk di dunia menjelang 2030, demikian menurut laporan “Bandar Raya Mega: Membangunkan Dominasi Negara” yang dikeluarkan Euromonitor International.

Euromonitor International dalam satu kenyataan berkata, ini akan menandakan era baru dalam sejarah bandar kerana Jakarta akan menjadi bandar raya membangun pertama memegang gelaran bandar raya mega terbesar dunia dengan 35.6 juta penduduk pada 2030.

Tokyo, ibu kota Jepun akan kehilangan kedudukan yang dipegangnya sejak 1950-an dengan penurunan 2 juta penduduk berikutan fenomena penuaan yang berlaku di rantau maju.

Beberapa bandar raya lain di Asia Timur juga dipengaruhi trend penuaan.

“Seoul, ibu kota Korea Selatan akan tambah 2.5 juta penduduk berumur lebih 65 tahun antara 2017 hingga 2030, diikuti Shanghai, China dengan 2.2 juta dan Beijing, ibu kota China dengan 1.8 juta,” kata penganalisis kanan bandar raya di Euromonitor International, Fransua Vytautas Razvadauskas.

Data Euromonitor International menunjukkan 15% daripada keluaran dalam negara kasar dunia dijangka datang daripada bandar raya mega kerana 60% daripada penduduk dunia akan tinggal di bandar menjelang 2030.

“Walaupun terdapat perubahan dalam landskap bandar raya mega, pasaran pengguna utama masa depan masih berada di bandar raya mega maju yang menjamin pendapatan lebih tinggi, di samping perumahan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur pengangkutan lebih canggih,” tambah Razvadauskas.

Euromonitor International ialah syarikat penyelidikan pasaran global yang menyediakan perisikan perniagaan dan analisis pasaran strategik global. Maklumat lanjut boleh diperoleh di www.euromonitor.com.