Kanak-kanak boleh amal yoga seawal 4 tahun tetapi bersyarat

Semua orang yang aktif dalam bidang senaman sedia maklum manfaat yoga. Tidak terkecuali golongan kanak-kanak yang lebih mudah dilatih kerana fleksibiliti fizikal serta kebolehan mereka menerap elemen postur serta pembaikan penjajaran tubuh yang sempurna.

Selain itu, ia juga membantu meningkatkan fokus dan konsentrasi anak.

Tetapi wujud persoalan mengenai usia yang tepat untuk kanak-kanak menyertai yoga.

Apakah usia yang sesuai untuk kanak-kanak memulakan yoga?

Menurut seorang guru yoga, SK Durai dari Sakthi School of Yoga di Kajang, kanak-kanak sememangnya mengembangkan minat awal dalam apa jua aktiviti mencabar secara fizikal.

Ini kerana semangat dan rasa ingin tahu semula jadi yang dimiliki mereka.

Namun, Durai akui kita perlu memahami dan mengurus ‘tenaga’ ini dengan mangambill kira beberapa pengukuran supaya kanak-kanak menerima sokongan yang baik untuk pertumbuhannya secara fizikal, mental dan intelektual.

Dua kanak-kanak berusia 8 dan 10 tahun ini melakukan aksi pastur roda iaitu Charasana yang memerlukan fleksibiliti tulang belakang.

“Yoga umpama alat pembangunan diri yang paling gah dan boleh digunakan untuk memanfaatkan potensi kanak-kanak.

“Terdapat bukti yang menunjukkan kanak-kanak memperoleh manfaat daripada aktiviti yoga,” kata Durai kepada FMT Ohsem.

Namun, beliau juga menekankan terdapat umur ideal untuk seseorang kanak-kanak memulakannya, dan ia terhad untuk senaman yoga tertentu dan dikembangkan mengikut peningkatan usia.

Seorang kanak-kanak melakukan postur unta iaitu pembukaan dada dan penundukan belakang.

Ini bermakna mereka boleh bermula awal tetapi seorang guru harus memastikan tahap dan sejauh mana kanak-kanak itu mampu.

“Umur ideal untuk memulakan yoga untuk kanak-kanak adalah sekurang-kurangnya 4 tahun, ini selaras dengan perkembangan tulang belakang dan paru-paru kanak-kanak yang sihat.

“Tetapi kanak-kanak mesti dan hanya boleh diajar amalan yoga yang menekankan postur yoga, amalan tumpuan, senaman dan aktiviti kreatif, nilai-nilai murni dalam yoga serta teknik pemurnian diri yang mudah.

“Mereka harus mengelak daripada teknik pernafasan sehingga cukup matang untuk memahami kaedah yang sebenar,” tambah beliau yang menyarankan usia sekurang-kurangnya 12 hingga 13 tahun untuk belajar pernafasan selain membiarkan pembinaan penuh paru-paru secara semulajadi.

Durai menyenarai beberapa postur yang rata-rata menggunakan pergerakan putaran, penyeimbangan, duduk, fleksibiliti tulang belakang dan tundukan belakang.

“Contohnya, senaman Trikonasana (segi tiga), Veerabhadrasana (pahlawan), Parsvakonasana (putaran berbelit bertentangan), Paschimauttanasana (tunduk ke hadapan), Dhanurasana (Busur) dan sebagainya,” kata beliau memberi beberapa pilihan postur yoga yang paling asas dan selamat.

Kanak-kanak harus dibimbing secara seronok dan kreatif supaya dapat menyalur tenaga mereka sebaiknya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan sebarang postur yang melibatkan tulang belakang dan penyongsangan tubuh secara mendalam harus dielakkan kecuali di bawah pengawasan guru berpengalaman.

“Ini bagi mengelakkan tekanan melampau pada serviks, toraks dan lumbar memandangkan tulang belakang kanak-kanak belum dikembangkan sepenuhnya,” kata beliau.

Dari segi teknik konsentrasi pula, Durai amat menekankan amalan Tratak (penumpuan cahaya) demi membangunkan daya ingatan dan meningkatkan perhatian.

Tambah beliau, nilai-nilai moral juga menjadi salah satu elemen pengajaran mendidik yoga dalam kalangan kanak-kanak dalam bentuk pengesahan positif semasa amalan rehat atau dikenali Savasana.

“Apa yang penting ialah, semua amalan mesti diawasi oleh seorang guru yang terlatih.

“Saya juga mencadangkan supaya ibu bapa juga menjadi seorang pengamal yoga agar mereka dapat memberikan contoh yang baik kepada anak-anak dan memotivasi mereka,” kata beliau.

Maka, senaman yoga boleh bermula seawal 4 hingga 10 tahun dengan amalan tahap asas dan pada usia 11 atau 12 tahun, kanak-kanak ini boleh dipimpin ke dalam tetapan yang lebih dewasa bergantung kepada kematangan mereka dalam subjek.