Keputusan hapus tol dalam 3 bulan, kata menteri

Baru Bian berkata, antara cadangan dikemukakan syarikat konsesi lebuh raya termasuk pemberian rebat, diskaun dan memanjangkan tempoh konsesi lebuh raya.

KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung isu penghapusan kutipan tol lebuh raya akan diketahui dalam tempoh 2 hingga 3 bulan lagi, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata, ketika ini, pihaknya sudah menerima beberapa cadangan syarikat konsesi lebuh raya terlibat dan akan menilai semua cadangan itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Masa sekarang kita masih berunding, mencari satu jalan yang saling memanfaatkan pihak berkepentingan dan kerajaan baru. Apa yang diputuskan nanti, cara terbaik yang diterima semua pihak berkepentingan. Saya percaya itu akan dilaksanakan.

“Saya difahamkan semua pemegang berkepentingan bersikap positif terhadap kedudukan (ekonomi) kita sekarang.

“Justeru, mereka sangat memahami, kita harap akan ada persefahaman dan kesimpulan bersama serta persetujuan bersama yang terbaik,” katanya selepas merasmikan Majlis Penghargaan “Man-Hours Without Lost-Time Injury’ (LTI)” bagi projek lebuh raya dalam pembinaan, di Susur Lebuh Raya Bandar Mahkota Cheras.

Katanya, antara cadangan itu termasuklah pemberian rebat, memanjangkan tempoh konsesi lebuh raya dan pemberian diskaun.

Dalam perkembangan lain, Baru berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubunginya berhubung laporan terhadap setiausaha politiknya atas dakwaan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

“Dia (Anwar) dah telefon saya dan bertanyakan perkara itu, dan saya katakan kita sudah buat satu kenyataan akhbar kita biarkan dia disiasat pihak berkuasa. Jadi, kita biarkan sahaja siasatan ini dilakukan dahulu.”

Sebelum ini, Setiausaha Pengelola Pemuda PKR, Ahmad Syukri Che Ab Razab membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa seorang setiausaha politik di sebuah kementerian.

Syukri mendakwa individu terbabit menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan RM300,000 dalam satu mesyuarat dengan pemimpin tempatan pada 1 September lalu, di mana individu itu bertanding untuk jawatan ketua cabang dan jawatan lain dalam kepimpinan pusat.