Kerajaan ‘lemah’ bantu pesakit kanser miskin, kata pemimpin PH

Charles Santiago berkata pesakit kanser akan mati kerana membeli ubat yang terlalu mahal. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pakatan Harapan mendakwa kerajaan masih “lemah” dalam menyediakan rawatan kepada pesakit kanser, terutama daripada golongan miskin bagi mendapatkan ubatan yang terbaik.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata Kementerian Kesihatan perlu fokus kepada pesakit yang miskin untuk mendapatkan ubat bagi rawatan kanser kerana ia tidak disediakan kerajaan, malah harganya mahal di farmasi.

“Saya mendapat aduan dari seorang kawan di Ipoh bahawa mereka tiada wang untuk membeli ubat bagi merawat kanser, kerana harga untuk 5 biji ubat kanser sahaja RM900.

“Rakyat Malaysia akan terus merana jika harga ubat untuk merawat kanser terlalu mahal. Kita tidak akan mati kerana penyakit kanser tetapi kerana membeli ubat yang terlalu mahal,” katanya kepada FMT.

Pada Persidangan Kepimpinan Kanser Sedunia (WCLS) yang berlangsung di Kuala Lumpur, speaker Denmark, Laila Walther berkongsi mengenai pusat kaunseling kanser yang dijalankan di negaranya.

Katanya, pusat itu menumpukan kepada sokongan moral secara percuma kepada pesakit agar mereka bersemangat melawan penyakit kanser yang dibantu oleh sukarelawan.

Mengulas kenyataan ketua bahagian sokongan pesakit Danish Cancer Society itu, Charles berkata Malaysia bukan seperti Denmark yang dapat memberi perkhidmatan sokongan sosial kepada pesakit kanser kerana jumlah sebenar pesakit kanser juga tidak diketahui.

“Dahulu saya pernah tanya kepada kerajaan, berapa jumlah pesakit kanser sebenarnya? Pada waktu itu adalah pada 2011. Sekarang sudah 2018.

“Jumlah pesakit kanser di Malaysia semakin hari semakin meningkat jumlahnya. Kajian dibuat kolej swasta menunjukkan 1 daripada 10 lelaki menghidap kanser dan 1 sehingga 10 wanita juga menghidap kanser,” katanya.

Muzaliza Musa.

Sementara itu, pesakit kanser tulang, Muzaliza Musa, 46, mengakui ubat-ubatan bagi merawat kanser sangat mahal iaitu dari RM7,000 hingga RM9,000 untuk 21 atau 22 kapsul.

“Saya mendapat bantuan dari syarikat Pfizer untuk ubat kimoterapi, jika nak beli sendiri memang sangat mahal, tetapi bagi ubat hormon kena beli sendiri kerana rawatan awal diterima di hospital swasta dan seterusnya saya ke hospital kerajaan,” katanya merujuk program “trial” syarikat tersebut.

Beliau menambah, semasa didiagnos dengan kanser payu dara 10 tahun lalu, beliau memang menerima rawatan di hospital kerajaan, namun merujuk hospital swasta bagi kanser tulang kerana pakar yang mengubatinya dulu telah bertukar ke hospital swasta.

“Saya tak bekerja setelah didiagnos kanser dulu, pembedahan dan ubatan saya awalnya dari kutipan kilat keluarga, NGO dan lain-lain.

“Pembedahan awal sahaja menelan belanja hampir RM40,000,” katanya yang mengakui belanja untuk cek darah, ubat hormon dan lain-lain mencecah rm1,000 sebulan.