Kerajaan patut haramkan ‘vape’ dan ‘shisha’ di restoran terbuka, kata CAP

 Larangan itu memperuntukkan hukuman denda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun sekiranya tidak dipatuhi.(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan turut melarang penggunaan rokok elektronik (vape) dan shisha di restoran terbuka seperti larangan merokok yang akan dilaksanakan Disember ini.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata kedua-dua bahan tembakau itu juga mempunyai nikotin yang secara tidak langsung turut membahayakan perokok pasif sama seperti rokok.

“Jika dilihat semua bahan ini ada nikotin. Shisha dan vape juga ada bahan yang lebih kurang sama dengan rokok.

“Kita sangat dukacita apabila ia tidak dilaksanakan ke atas kedua-dua bahan ini, juga kerana kita tidak mahu pengguna mengamalkan kesemua bahan ini ketika berada di tempat terbuka,” katanya ketika dihubungi FMT.

September lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengisytiharkan semua restoran terbuka sebagai kawasan larangan merokok berkuat kuasa Disember ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye bagaimanapun berkata, kementerian masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak berkepentingan berhubung cadangan berkenaan.

Sekiranya dilaksanakan larangan itu memperuntukkan hukuman denda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun sekiranya tidak dipatuhi.

Mohamed berkata, kerajaan sepatutnya tegas dan melarang semua pengusaha restoran daripada terus menjual rokok seperti yang berlaku pada hari ini.

Katanya, langkah itu perlu dilaksanakan seiring dengan usaha melarang pengguna daripada menghisap rokok di mana-mana restoran.

“Restoran sepatutnya menjual makanan dan minuman, kenapa perlu jual rokok?

“CAP juga menggesa kerajaan menetapkan bahan tembakau mesti dijual di kedai yang menjual rokok sahaja, tidak boleh dijual di restoran atau kedai runcit,” katanya lagi.

Kerajaan pada bulan lalu memaklumkan akan memberi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) melibatkan penyewaan warung kecil dan penjualan rokok kepada para pengendali kedai makanan dan minuman.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pertimbangan itu dibuat selepas menerima pelbagai maklum balas daripada peniaga kedai makanan dan minuman.