Mahkamah benarkan bedah siasat CEO Cradle Fund minggu depan

Nazrin Hassan.

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini memperbetulkan perintah dikeluarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya Isnin lalu yang membenarkan permohonan polis menggali kubur Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran, Isnin depan.

Hakim, Datuk Ab Karim Ab Rahman menggunakan kuasa budi bicaranya untuk membuat pembetulan terhadap peruntukan yang diguna pakai dalam perintah Mahkamah Majistret, iaitu daripada Seksyen 339 (3) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) kepada Seksyen 329 (3) kanun sama.

“Majistret tidak sepatutnya mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 339 (3) KPJ kerana seksyen itu melibatkan permohonan untuk inkues, sedangkan kes ini masih di peringkat siasatan.

“Sehubungan itu, saya memperbetulkan arahan majistret kepada Seksyen 329 (3) kanun sama bagi memberi kuasa kepada pihak polis gali semula kubur Allahyarham untuk menentukan sebab kematian,” katanya.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak dalam permohonan semakan oleh peguam isteri mangsa terhadap perintah yang dikeluarkan Mahkamah Majistret.

Permohonan untuk menggali kubur Nazrin dibuat bagi membolehkan bedah siasat ke-2 dijalankan ke atas jenazah Nazrin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat sebelum ini berkata, bedah siasat ke-2 ke atas jenazah Nazrin dilakukan kerana ada ahli keluarga tidak berpuas hati dengan laporan terdahulu.

Dalam prosiding sama, hakim turut menetapkan syarat tambahan yang dipersetujui pihak pendakwaan, iaitu seorang wakil keluarga pemohon (isteri mangsa) dan seorang wakil agamawan dibenarkan hadir semasa proses penggalian kubur dan pengebumian semula.

“Pemohon (isteri mangsa) sebagai waris juga dibenarkan hadir ketika proses bedah siasat ke-2 dan pakar patologi bebas dibenarkan hadir, sekiranya mendapat kelulusan pakar patologi yang akan menjalankan bedah siasat ke-2 itu.”

Terdahulu, dalam hujahannya, peguam Hisyam The Poh Teik berkata, perintah Mahkamah Majistret tidak mengikut undang-undang kerana seksyen yang diguna pakai mengenai permohonan untuk inkues, sedangkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Nazrin bagi membolehkan bedah siasat ke-2 dijalankan ke atas jenazah.

Timbalan pendakwa raya, Datuk Jamil Aripin berkata, permohonan semakan peguam tidak berasas dan pramatang kerana kes ini masih di peringkat siasatan.

“Tiada yang tidak sah dan tidak ikut peraturan berhubung perintah Mahkamah Majistret itu. Tiada sesiapa harus menghalang pihak polis melakukan siasatan.”

Pada 4 September lalu, isteri Nazrin dan bekas suaminya direman 7 hari bagi membantu siasatan kes, diikuti 2 anak tiri Nazrin yang berusia 14 dan 16 tahun direman pada 9 September lalu.

Pada 24 September lalu, sepasang suami isteri yang juga adik ipar Nazrin pula direman 4 hari. Bagaimanapun, semua suspek dibebaskan selepas tamat reman.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, kira-kira 12.20 tengah hari, 14 Jun lalu.

Kematiannya kemudian diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selepas siasatan bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.