Malaysia kurang tenaga kerja mahir, kata exco Johor

S Ramakrishnan berkata negara memerlukan tenaga kerja mahir untuk capai status negara maju pada 2020. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Malaysia masih memerlukan ramai tenaga kerja kerja mahir tempatan sekiranya mahu merealisasikan hasrat untuk mencapai status negara maju pada 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Dr S Ramakrishnan berkata sehingga kini, hanya terdapat sekitar 28% tenaga kerja mahir yang berada dalam negara berbanding negara-negara maju lain yang berada pada tahap 45 hingga 55%.

Menurutnya, di Johor, kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan, kehendak dan keperluan industri bagi memastikan tenaga kerja mahir yang dihasilkan menepati kemahuan industri selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Kerajaan menetapkan objektif dan sasaran untuk menjadi negara maju pada 2020, tetapi untuk mencapai sasaran ini kita memerlukan sekurang-kurangnya 50% tenaga kerja mahir yang sehingga hari ini kita cuma berada pada tahap 28%.

“Jadi jurang keperluan tenaga kerja itu cukup besar, ini belum dibandingkan dengan negara maju lain yang mencapai 45 hingga 55%. Oleh sebab itu, kita perlu memastikan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) selari dengan kehendak pasaran,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Minggu Jalinan Mesra Johor Skills Development Centre, hari ini.

Ramakrishnan berkata kerajaan negeri menerusi Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 akan melaksanakan program pemerkasaan golongan belia menerusi program dan latihan TVET sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

“Nisbah pekerja asing di dalam negara kita ketika ini adalah 1 pekerja asing berdaftar bersamaan 3 pekerja asing yang bekerja secara haram atau pendatang asing tanpa izin (PATI), jadi masalah kebergantungan ini amat serius.

“Oleh itu, kami mengambil langkah awal dan memastikan modul-modul latihan kami selari dengan IR4.0 kerana kita di Johor tidak mempunyai banyak industri yang telah mencapai tahap itu, kebanyakan industri kita masih berada pada tahap IR2.0 dan IR3.0,” katanya.

Ramakrishnan berkata, IR4.0 adalah fasa penting yang perlu dilalui oleh mana-mana negara yang mahu mencapai status negara maju, selari dengan perubahan dan kemajuan teknologi.