Menteri: Kereta nasional baru dijangka dilancarkan sebelum 2020

Mohd Redzuan berkata projek tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta dengan bantuan beberapa kementerian.

CYBERJAYA: Projek kereta nasional baru dijangka melancarkan model pertamanya sebelum 2020, kata Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof.

Beliau berkata kereta semi-autonomous (separa pemanduan sendiri) itu dirancang memasuki pasaran dunia bagi memenuhi permintaan generasi muda.

“Kami kini sedang menyenarai pendek 2 hingga 3 rakan kongsi untuk menyertai projek ini termasuk Silterra dan CTRM, dan menjangka (pemilihan) akan dimuktamadkan hujung tahun ini.

“Prototaip untuk model (kereta) ini dijangka siap awal tahun depan,” katanya kepada pemberita pada taklimat media mengenai projek kereta nasional baru itu, di sini, hari ini.

Mohd Redzuan berkata projek tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta dengan bantuan beberapa kementerian.

Ditanya sama ada projek ini berdaya maju memandangkan masa yang singkat untuk disiapkan, beliau berkata projek tersebut akan menggunakan teknologi terkini.

“Kereta baru ini akan menggunakan 100% teknologi disruptif dan tidak mengikut (kaedah) pembuatan kereta konvensional,” katanya.

Hadir sama pada taklimat itu ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (Might) Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman.

Mohd Yusoff berkata projek tersebut benar-benar baru dan mempunyai kelainan berbanding projek kereta nasional sedia ada dan mengguna pakai ekonomi Industri 4.0.

Beliau berkata peranan Might adalah untuk memberi penekanan tentang kepentingan mewujudkan kereta baru bagi membantu merangsang pembangunan.

“Selain itu, Might juga diberikan mandat menyelaras dengan pelbagai kementerian, agensi dan industri, serta ahli akademik bagi memastikan projek itu berjaya,” katanya.