Pakar ingatkan Malaysia jangan terlalu terbuka dengan ganja

Sanchia Aranda berkata perlu pembuktian sains untuk menentukan ganja boleh mengubati kanser.

KUALA LUMPUR: Persatuan Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC) mengingatkan Malaysia berhati-hati ketika membincangkan proses membenarkan penggunaan marijuana (ganja) bagi perubatan, mengatakan sikap terlalu terbuka kepada ganja tidak baik untuk sesebuah negara.

Presiden UICC, Prof Sanchia Aranda berkata kepada FMT, penggunaan ubat alternatif seperti ganja menjadi satu cabaran untuk merawat kanser pada masa kini kerana kaedah perubatan moden boleh dipinggirkan.

“Proses menghadkan penggunaan herba dalam perubatan seperti ganja memang sedang berlaku di Australia dan New South Wales khususnya di Victoria dengan memulakannya melalui ujian klinikal dahulu.

“Terdapat beberapa bukti berdasarkan kajian semasa bahawa ganja boleh merawat dan menyembuhkan kanser.

“Kajian itu mengatakan ganja boleh membantu melegakan rasa sakit tetapi kita perlu memastikan sains membuktikannya terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di Kongres Kanser Sedunia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Tambahnya, jika Malaysia ingin membenarkan penggunaan ganja dalam perubatan, mereka tidak seharusnya terus “membuka pintu” untuk itu, sebaliknya mempertimbangkan pendekatan seperti Australia iaitu melakukan percubaan terlebih dahulu.

“Melalui dana dan pembiayaan yang ada, gunakan untuk mengumpul data-data terbaru. Selepas itu, kaji sama ada ia boleh digunakan, berfungsi atau pun tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi orang awam berhubung hukuman mati terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun yang memiliki dan mengedar ganja.

Pada 30 Ogos lalu, Muhammad Lukman Mohamad dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas ditahan memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279 gram ganja mampat dan 1.4kg bahan mengandungi tetrahydrocan nabinol (THC).

Kes itu menjadi tular kerana Lukman memberikan rawatan alternatif itu kepada tidak kurang daripada 800 pesakit.

Malah, pihak yang pernah mendapatkan khidmatnya tampil membelanya di mahkamah.

Malaysia adalah antara negara di Asia Tenggara yang mempunyai undang-undang yang ketat terhadap penggunaan dadah termasuk ganja. Kesalahan seperti memiliki dadah dan mengedar dadah tanpa mengira jenis, jika disabit kesalahan boleh mambawa hukuman mati.