PAS sepatutnya ‘tumpang’ Umno, bukan sebaliknya, kata akar umbi

Bakri berkata, Umno perlu berjiwa besar dan membuang budaya kroni serta mengutamakan anak beranak. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Akar umbi Umno mengingatkan pucuk pimpinan parti termasuk presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak terlalu ghairah menumpang kekuatan PAS.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Ipoh, Bakri Mustapha berkata Umno perlu membina kekuatan sendiri dengan memulihkan parti dengan strategi sendiri, bukannya meminta pertolongan daripada parti lain untuk kembali memerintah.

“Bergabung dengan parti lain itu bagus, tetapi Umno perlu mencari kekuatan diri terlebih dahulu supaya parti lain melihat adalah releven untuk bersama-sama dengan Umno.

“Masyarakat melihat tindakan Datuk Seri Zahid Hamidi lebih mirip kepada Umno mahu menumpang PAS, jadi kebanyakan ahli tidak boleh terima sebab kita mahu melihat PAS yang menumpang Umno.

“Presiden mesti bersabar dulu, jangan terlalu gopoh (kerjasama dengan PAS) atau mengambil tindakan drastik apabila melihat Umno lemah. Jangan gopoh sebab satu hari nanti Pakatan Harapan (PH) akan terima nasib sama macam Umno (hilang kerajaan),”katanya kepada FMT.

Kebelakangan ini Umno dilihat semakin “mesra” dengan PAS, termasuklah menghadiri Muktamar Agung parti itu di Terengganu bulan lalu.

Terbaru, rombongan pimpinan PAS pula dilihat menghadiri Persidangan Agung Umno, minggu lepas.

Mengulas mengenai masa depan Umno khususnya di Kelantan selepas tindakan mengejut Ahli Parlimem Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar parti, Bakri berkata parti Melayu itu perlu berjiwa besar mengetepikan pendekatan terlalu mengangkat agenda Melayu dan Bumiputera semata-mata, tetapi sebaliknya perlu menjadikan agenda perjuangan Islam sebagai teras di samping memberi ruang kepada tokoh baru memimpin.

“Buka ruang kepada tokoh baru yang dilihat lebih berwibawa berpaksikan imej Islam, kalau Umno Kelantan rasa mahu cari nafas baru kena ubah, kalau kekal cara lama, hasilnya dapat macam yang lama.

“Memang tidak dinafikan pengaruh Tok Pa kuat, tetapi idea yang digunakannya semasa memimpin Umno tidak sesuai lagi, cita rasa beliau tidak menepati cita rasa orang muda. Sekarang ini Umno Kelantan dipimpin Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, nampak ada sinar harapan sebab beliau orang muda, tetapi kena beri masa,”katanya.

Henti lantik anak beranak pegang jawatan dalam Umno

Bakri berkata, Umno juga perlu membuang budaya kroni dan mengutamakan anak beranak.

“Umno jangan cari kelemahan orang lain. Jangan cuba provokasi kerajaan sebab ia akan memakan diri. Mengakui kesilapan sendiri akan memberi satu kelebihan besar kepada kita. Ubah kembali parti dahulu.

“Kita kena berjiwa besar, jangan nak lantik keturunan, saudara mara. Jadikan parti satu perjuangan, bukan warisan dan pusaka untuk ahli keluarga.

“Budaya kroni, budaya gula-gula dalam parti kena ubah. Cara Datuk Seri Najib Razak memang salah sebab semua gula-gula itu boleh kena kecing manis dan bila tak cukup makan mereka lompat parti. Itu kesannya,” katanya dengan menambah budaya itu perlu diubah dalam Umno di seluruh negara.

Ketika ditanya adakah beliau akan kekal dengan Umno, berikutan desas-desus sebelum ini bahawa beliau akan keluar parti, Bakri berkata beliau akan tetap setia.

“Setakat hari ini saya tetap setia degan Umno, kalau keluar Umno mungkin saya orang terakhir yang berbuat demikian.

“Amanah, PPBM ada tawar saya sertai mereka, cuma PKR tidak pernah minta. Kita perlukan orang yang sanggup berkorban untuk ubah Umno demigenerasi akan datang,” katanya.