Peguam: 17 pertuduhan Rosmah tiada kaitan 1MDB

K Kumaraendran, Geethan Ram Vincent. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kertas pertuduhan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor langsung tidak menyebut tentang kaitannya dengan 1MDB, kata peguam.

Datuk K Kumaraendran berkata, walaupun banyak yang menyebut secara terbuka anak guamnya itu akan didakwa berhubung kes pengubahan wang haram (AMLA) dengan syarikat pelaburan itu, namun kertas pertuduhan tidak menunjukkan sedemikian.

“Terlalu banyak yang disebutkan tentang AMLA dan 1MDB tetapi dalam kertas pertuduhan tidak menyebut tentang 1MDB,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah.

Hujah Rosmah ganggu saksi tak berasas

Seorang lagi peguam Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent berkata, hujah yang digunakan pihak pendakwa raya bahawa wujud laporan polis mengatakan Rosmah mengganggu saksi adalah tidak berasas.

“Rujukan mengatakan terdapat laporan polis yang dikatakan wujud hari ini mendakwa Datin Seri Rosmah mengganggu saksi adalah tidak berasas kerana dia tidak pernah dipanggil memberi keterangan dan diberi ruang memberi penjelasan,” katanya.

Isteri bekas perdana menteri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 17 pertuduhan melibatkan RM7.1 juta berhubung aktiviti pengubahan wang haram.

Jika didapati bersalah, beliau akan dikenakan denda sebanyak RM5 juta atau lebih dan penjara 5 hingga 15 tahun di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLAFTA) 2001.

Beliau bagaimanapun kelihatan tenang ketika pertuduhan itu dibacakan. Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM2 juta dengan 2 penjamin.

Azura turut menetapkan syarat-syarat lain, termasuk pasport perlu diserahkan kepada pihak mahkamah sehingga kes selesai.

Wang jaminan berkenaan dibenar dibayar secara berperingkat, iaitu RM500,000 perlu dibayar hari ini, manakala bakinya dibuat sebelum 11 Oktober 2018.

Sebutan semula kes pada 8 November depan.