Peguam: Lantikan Sulaiman, Sri Ram dalam kes Najib bukan rahsia negara

Manjeet Singh Dhillon berkata, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berhak meminta Sulaiman Abdullah menunjukkan surat pelantikannya sebagai timbalan pendakwa raya. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Seorang peguam kanan yang mempersoalkan kerahsiaan di sebalik pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Datuk Sulaiman Abdullah sebagai pendakwa raya dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Razak, berkata ia adalah salah untuk menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Tiada rahsia mengenainya dan ia tidak kaitan dengan keselamatan negara,” kata bekas timbalan pendakwa raya, Manjeet Singh Dhillon kepada FMT.

Beliau mengulas reaksi peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang meminta Sulaiman menunjukkan surat pelantikannya dalam prosiding di depan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sulaiman dipilih Peguam Negara, Tommy Thomas sebagai timbalan pendakwa raya secara fiat (kebenaran rasmi) untuk mendakwa Najib berhubung RM42 juta yang dimasukkan ke akaun peribadi bekas perdana menteri itu.

Sulaiman dalam responsnya berkata, pelantikannya di bawah OSA dan Shafee berkata, kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya bersikap telus.

Manjeet berkata, seorang peguam atau hakim berhak meminta pendakwa raya sementara menunjukkan surat pelantikannya (fiat).

“Ia seperti sijil amalan peguam dan seseorang itu berhak memintanya dikemukakan di mahkamah.”

Beliau berkata, timbalan pendakwa raya sementara ialah penjawat awam dan pelantikan mereka bukannya rahsia negara.

“Pelantikan mereka didedahkan kepada umum dan butirannya tidak perlu disembunyikan.”

Manjeet berharap Sulaiman dan Sri Ram akan menunjukkan surat pelantikan mereka.

Sulaiman yang merupakan peguam dan Sri Ram pula hakim bersara, dilantik Thomas sebagai timbalan pendakwa raya sementara untuk mengendalikan kes SRC serta 1MDB.

Najib berdepan 32 pertuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadinya daripada SRC International Sdn Bhd.

Sri Ram dilantik sebagai timbalan pendakwa raya kanan bagi mengetuai proses mengkaji kertas siasatan, merangka pertuduhan dan pendakwaan mana-mana tertuduh yang didakwa atas kesalahan berkaitan 1MDB.