Penahanan Rosmah tiada unsur balas dendam, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad berkata jika Rosmah Mansor didapati bersalah sudah tentu tangkapan itu mengikut proses yang ada.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penahanan Datin Seri Rosmah Mansor semalam tiada unsur balas dendam atau sebagainya.

Beliau berkata pihak berkuasa menahan Rosmah mengikut undang-undang yang sedia ada.

“Jika dia didapati melakukan kesalahan sudah tentu tangkapan itu mengikut proses-proses yang ada.

“Janji kita tidak akan ada sebarang balas dendam. Jika undang-undang dapati dia ada mengambil wang yang salah, sudah tentu akan dihadapkan ke mahkamah.

“Sama ada mahkamah setuju atau tidak itu perkara lain,” katanya.

Semalam, anak perempuan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak meluahkan perasaan di Instagram susulan penahanan ibunya, Rosmah.

Noryana Najwa Najib menyifatkan tindakan penahanan ke atas ibunya itu melampau selepas rumah neneknya diserbu, 2 minggu lalu.

Rosmah tiba di Mahkamah Jalan Duta kira-kira jam 8.30 pagi, hari ini.

Beliau akan didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLAFTA) 2001.

Ucap takziah kepada keluarga anggota bomba lemas

Dr Mahathir turut mengucapkan takziah kepada keluarga 6 anggota bomba yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lombong di Taman Putra Perdana, Selangor, semalam.

Beliau berkata keluarga mangsa perlu banyak bersabar dan akan memastikan kejadian seperti ini tidak berlaku lagi.

“Ini satu tragedi yang menyedihkan. Kita belum tahu apa sebenarnya punca kejadian.

“Namun kita akan adakan latihan-latihan yang lebih berkesan agar kejadian seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.00 malam itu, semua anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor itu dilaporkan lemas akibat dibawa arus deras.

Mangsa yang lemas ialah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Yahya Ali, 24; Mazlan Omarbaki, 25; Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Bagaimanapun, remaja 17 tahun yang dikhuatiri lemas masih belum ditemukan.

Tak setuju adik Lokman Adam direman

Dr Mahathir juga tidak setuju adik kepada Datuk Lokman Noor Adam ditahan reman 4 hari setelah menularkan satu hantaran orang lain yang didakwa mengandungi gambar yang menghina perdana menteri itu.

Beliau berkata ini kerana tindakan itu tidak mendatang kesan kepadanya.

“Nak jadi orang politik mestilah menerima apa-apa kritikan atau digelar apa pun. Saya dipanggil semua jenis nama walaupun ketika itu saya menjadi perdana menteri sebelum ini,” katanya merujuk kepada dirinya yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003.