Peru: Mahkamah batal pengampunan Fujimori, perintah tangkap

Fujimori menjalani 12 daripada 25 tahun hukuman penjara yang dijatuhkan ke atasnya berikutan kes Barrios Altos dan La Cantuta. (Gambar AFP)

LIMA: Mahkamah Penyiasatan Persediaan Peru menerima permohonan plaintif untuk membatalkan pengampunan kemanusiaan yang diberikan kepada bekas presiden negara itu, Alberto Fujimori (1990-2000).

Menurut Bahagian Kehakiman, seorang hakim mengeluarkan waran geledah dan tangkap terhadap Fujimori bagi membolehkan beliau dihantar semula ke penjara.

Fujimori sebelum ini diberikan pengampunan kemanusiaan oleh bekas presiden Pedro Pablo Kuczynski pada 24 Disember 2017. Beliau menjalani 12 daripada 25 tahun hukuman penjara yang dijatuhkan ke atasnya berikutan kes Barrios Altos dan La Cantuta yang melibatkan pelanggaran hak asasi manusia.

Jun lepas Mahkamah Hak Asasi Amerika Selatan membenarkan kerajaan Peru menyemak semula pengampunan kemanusiaan yang diberikan kepada bekas presidennya itu, yang antara lain dipersoalkan oleh keluarga mangsa.

Ogos lepas, Bahagian Kehakiman menerima permohonan keluarga dalam kes La Cantuta dan Barrios Altos untuk menyemak semula pengampunan tersebut berdasarkan resolusi mahkamah.

Pembatalan pengampunan itu diundi bulan lepas.