Polis arah penyokong Najib, Rosmah tanggal lilitan kepala ‘anti-AMLA’

Seorang penyokong Najib Razak dan isteri yang dikenali sebagai Rajendran menanggalkan lilitan ‘anti-AMLA’ di kepalanya.

KUALA LUMPUR: Polis mengarahkan beberapa penyokong bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor menangalkan lilitan kain kuning di kepala.

“Encik boleh berada di sini, tetapi kita minta tanggalkan lilitan kain kuning di kepala,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Heisham Harun.

Polis bagaimanapun tidak memberi alasan kukuh mengapa lilitan itu mesti ditanggalkan, sekadar berkata arahan itu adalah dari pihak atasan.

Terdahulu, individu yang dikenali Rajendran dilihat memakai lilitan kain kuning di kepala dengan tulisan “Jangan salah guna AMLA” bersama kira-kira 20 penyokong Najib yang berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta sebagai tanda sokongan kepada Rosmah yang didakwa di Mahkamah Sesyen selepas disiasat berhubung peranannya dalam skandal 1MDB.

“Kami tidak buat kekerasan, sepertimana mereka (Pakatan Harapan) melakukan reformasi kejatuhan Datuk Seri Anwar Ibrahim dulu, kami dididik Datuk Seri Najib dengan cara begini, sampai sekarang kita tidak buat kecoh.

“Kami pakai kain dengan tulisan ‘henti salah guna kuasa AMLA’. Kami tidak jerit, kami tidak buat apa-apa, cuma pakai kain untuk sampaikan mesej itu sahaja di mana pemerintahan kerajaan PH, di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad telah salah guna akta itu,” kata Rajendran yang mengetuai penyokong Najib.

Hadir sama, Datuk Lokman Noor Adam, selebriti, Ellie Suriaty yang juga penyokong tegar Najib.

Terdahulu, Rosmah dan Najib tiba di Mahkamah Jalan Duta kira-kira jam 8.30 pagi.

Rosmah tiba di mahkamah untuk pendakwaan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasatnya semalam mengenai peranannya dalam skandal 1MDB.

Rosmah akan didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLAFTA) 2001.

Rosmah dijangka berdepan sekurang-kurangnya 17 pertuduhan pengubahan wang melibatkan lebih RM14 juta, kata beberapa sumber.

Sementara Najib tiba beberapa minit kemudian untuk tujuan pengurusan kes penetapan tarikh perbicaraan berhubung skandal SRC International.

Najib sebelum ini berdepan 32 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram, salahguna kuasa dan pecah amanah.