Rosmah, Najib pulang bersama selepas bayar ikat jamin

Rosmah Mansor melambai tangan kepada penyokong ketika memasuki kereta.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor meninggalkan Kompleks Mahkamah Jalan Duta selepas pengurusan kes dan tuduhan di hadapan hakim.

Pasangan suami isteri itu keluar dari mahkamah dan menuju ke kenderaannya dengan kawalan ketat anggota polis kira-kira 12.30 tengahari.

Mereka bagaimanapun kelihatan ceria dan berhenti seketika untuk melihat gelagat penyokong sambil tersenyum.

Lebih 30 penyokong menunggu di luar lobi mahkamah. Mereka mengiringi bekas pemimpin negara itu memasuki kereta.

Najib dan Rosmah pulang menaiki kenderaan yang sama, tidak seperti di awal pagi, di mana kedua-duanya hadir secara berasingan. Ini kerana Rosmah bermalam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam tadi selepas disoal siasat agensi itu semalam.

Terdahulu, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 17 pertuduhan melibatkan RM7.1 juta berhubung aktiviti pengubahan wang haram.

Beliau dituduh dibawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLAFTA) 2001.

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM2 juta dengan 2 penjamin.

Hakim turut menetapkan syarat-syarat lain, termasuk pasport perlu diserahkan kepada pihak mahkamah sehingga kes selesai.

Wang jaminan berkenaan dibenar dibayar secara berperingkat, RM500,000 perlu dibayar hari ini, manakala bakinya perlu dibuat sebelum 11 Oktober 2018.

Sementara Najib hadir untuk tujuan pengurusan kes penetapan tarikh perbicaraan berhubung skandal SRC International.

Najib berdepan 32 pertuduhan kerana pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan pecah amanah.