Saya tidak akan abaikan Port Dickson jika jadi PM, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata beliau telah memulakan kerja asas dan mahu mewujudkan struktur yang betul supaya Port Dickson diiktiraf.

PORT DICKSON: Calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji tidak akan mengabaikan pengundi di situ sekiranya memenangi pilihan raya kecil pada 13 Okt depan dan seterusnya menjadi perdana menteri.

Menjawab soalan penduduk semasa satu ceramah di Taman Desa Sri Rusa di sini, Anwar berkata atas sebab itulah beliau membuka pusat operasi di Port Dickson.

“Bila PRK tamat, ia akan jadi pejabat tetap saya di sini. Di situlah saya akan berjumpa rakyat di Port Dickson,” katanya.

Penduduk terbabit bertanyakan Anwar sama ada pemimpin PKR itu akan selalu bertemu pengundi selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

“Bila anda menang PRK, seluruh dunia tahu anda akan menjadi orang nombor satu di Malaysia dan akan berpangkalan di Putrajaya,” kata penduduk tersebut.

“Bagaimana anda mahu pastikan pembangunan di Port Dickson akan berterusan?.”

Anwar berkata, semasa menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh beliau sering berulang-alik ke sana.

“Saya kerap hadiri pelbagai majlis setiap kali balik ke Permatang Pauh. Pernah saya hadiri 12 majlis perkahwinan dan 2 kematian – 14 majlis seminggu.

“Satu ketika dalam perjalanan balik dari Alor Star, sewaktu melepasi Seberang Jaya, saya terima panggilan daripada seorang yang dikenali memberitahu tentang satu kematian. Walaupun waktu itu pukul 1.30 pagi, saya tetap pergi menziarahi keluarga terbabit.

“Tetapi anda tidak bolehlah berharap saya hadir setiap kali ada orang meninggal,” kata Anwar berseloroh.

Dari segi pembangunan katanya, penduduk akan mendapat manfaat sekiranya beliau menjadi perdana menteri.

“Saya boleh beri arahan, dan tanah akan disediakan.

“Saya telah mulakan kerja asas, dan saya mahu wujudkan struktur yang betul supaya Port Dickson diiktiraf. Orang kaya akan mahu melabur, tetapi mereka perlu faham stail saya yang akan mendahulukan keperluan rakyat.

“Paling pasti sebagai kawasan pilihan raya perdana menteri, tentulah tidak masuk akal sekiranya longkang di sini pecah atau jalannya tidak dibaiki. Itu tentulah satu kelebihan kepada Port Dickson,” tambah beliau.

Anwar berkata beliau telah menggariskan rancangan beliau untuk kawasan itu tetapi tidak boleh mengumumkannya lagi kerana negara berhadapan masalah kewangan.

“Saya telah meminta menteri kewangan memberikan maklumat tentang status kewangan negara, ” katanya, merujuk kepada Lim Guan Eng.

“Saya tidak menekan kerajaan, tetapi ini akan membantu memudahkan kerja apabila saya mengambil alih jawatan (sebagai perdana menteri). Walaupun saya tidak ada apa-apa jawatan, Dr Mahathir membenarkan saya membuat kajian dalam sektor berkaitan.”

Kerusi Parlimen Port Dickson diisytiharkan kosong selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.

PRK yang ditetapkan pada 13 Okt itu menyaksikan pertandingan 7 penjuru yang melibatkan Anwar, calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan 5 calon Bebas, termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad, bekas pembantu Anwar Mohd Saiful Bukhari Azlan dan personaliti media sosial Stevie Chan.