Selepas Rosmah, Najib pula tiba di mahkamah

Najib berdepan 32 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram, salahguna kuasa dan pecah amanah.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Mahkamah Jalan Duta, beberapa minit selepas isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tiba untuk didakwa di Mahkamah Seksyen.

Kehadiran Najib adalah untuk tujuan pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan berhubung skandal SRC International.

Beliau berbaju biru tiba kira-kita jam 8.38 pagi menaiki Proton Perdana ditemani pegawai peribadinya.

Najib sempat bersalaman dengan penyokong beliau dan turut dikawal ketat oleh pihak polis.

Najib berdepan 32 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram, salahguna kuasa dan pecah amanah.

Pada 20 September, Najib, 65, dituduh dengan 21 tuduhan pengubahan wang haram dan 4 tuduhan salahguna kuasa melibatkan wang berjumlah RM2.28 bilion yang diterima dalam akaun bank peribadi.

Pada 4 Julai, beliau dituduh dengan 3 tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kuasa berkaitan sejumlah RM42 juta yang dipindahkan ke akaun bank miliknya daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Pada 8 Ogos pula, Ahli Parlimen Pekan itu didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLAFTA) 2001 atas 3 tuduhan pengubahan wang berkaitan transaksi yang sama.

Najib bebas dengan ikat jamin mencecah RM4.5 juta dan perbicaraan dijangka bermula di Mahkamah Tinggi awal tahun depan.