Thai perketat syarat pinjaman perumahan elak risiko

Persaingan antara bank dalam perniagaan gadaian mengakibatkan pemberian pinjaman lebih longgar bagi pembelian hartanah. (Gambar Bloomberg)

BANGKOK: Bank pusat Thailand dijangka memperketatkan syarat gadaian hartanah kediaman bagi menyekat risiko dan spekulasi dalam pasaran perumahan, kata penolong gabenornya hari ini.

Nisbah pinjaman kepada nilai (LTV), iaitu peratusan nilai hartanah yang boleh diberikan pinjaman bagi unit rumah berharga lebih 10 juta baht (AS$306,466) akan ditetapkan pada aras 80%, dengan bayaran muka sekurang-kurangnya 20%, kata Wajeetip Pongpech dalam satu taklimat.

Peraturan tersebut, yang dijangka berkuat kuasa pada Januari 2019, akan turut terpakai ke atas rumah kedua atau lebih tanpa mengira harga, kata beliau.

Langkah itu diambil berikutan meningkatnya hutang rumah tangga dan bertambahnya pinjaman gadaian bermasalah.

Persaingan antara bank dalam perniagaan gadaian mengakibatkan pemberian pinjaman lebih longgar bagi pembelian hartanah.