TUDM mula hantar bantuan kemanusiaan ke Sulawesi

Misi disertai 23 anggota TUDM dan 3 wakil media tempatan dengan membawa muatan bekalan seberat 22 tan. (Gambar Bernama)

SUBANG: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menghantar sebuah pesawat A400M untuk memulakan misi bantuan kemanusiaan bagi mangsa tsunami dan gempa bumi di Palu, Sulawesi, Indonesia.

Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Datuk Muhammad Mudzamir Ong Abdullah TUDM berkata penerbangan pertama akan bertolak awal pagi ini ke Jakarta sebelum meneruskan penerbangan ke Kota Palu, Sulawesi.

“Pesawat A400M akan digunakan untuk mengangkut peralatan seperti jentera berat untuk misi menyelamat mangsa dari Jakarta ke Palu.

“Operasi sebenar akan bermula dari Jakarta ke Palu yang akan mengambil masa 2 jam 45 minit dan untuk misi ini kita akan membuat 2 penerbangan dari Jakarta ke Palu setiap hari untuk tempoh operasi selama 4 hari,” katanya kepada pemberita selepas memeriksa persiapan misi, di sini malam tadi.

Menurutnya pesawat A400M tidak menghadapi banyak masalah untuk mendarat di Palu kerana ia mampu untuk terbang dan mendarat di landasan yang pendek.

Gempa bumi disusuli tsunami yang melanda pulau Sulawesi, Jumaat lalu, telah menyebabkan kemusnahan serta angka korban yang besar dalam bencana dahsyat tersebut.

“Kerajaan Indonesia sememangnya menantikan bantuan daripada pihak TUDM yang memiliki pesawat pengangkut A400M yang berkeupayaan untuk membawa muatan bersaiz lebih besar serta lebih berat berbanding kemampuan pesawat C130H,” katanya.

Katanya TUDM sentiasa dan akan terus komited untuk menghulurkan bantuan serta memberi kerjasama yang padu terutama dalam kalangan negara serantau yang mengalami keadaan darurat seumpama itu.

Misi ini disertai oleh 23 anggota TUDM dan 3 wakil media tempatan dengan membawa muatan bekalan seberat 22 tan.

Gempa bumi disusuli tsunami sehingga 6 meter yang menjejaskan Palu dan Donggala itu menyebabkan lebih 1,200 mangsa terkorban manakala lebih 50,000 orang hilang tempat tinggal.

Laporan media menyebut lebih 200,000 mangsa gempa memerlukan bantuan kecemasan segera.