UNHCR sahkan warga Syria terkandas berstatus pelarian, kata Suhakam

Hassan Al Kontar. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengesahkan lelaki warga Syria Hassan Al Kontar sudah didaftarkan dan berstatus seorang pelarian, kata Pesuruhjaya Suhakam, Gerald Joseph.

Pesuruhjaya Suhakam, Gerald Joseph berkata, sebagai pelarian Hassan mempunyai hak dan perlu diberi peluang tinggal di Malaysia.

Gerald berkata, oleh sebab itu beliau tidak melihat keperluan mendesak untuk pihak berkuasa segera menghantar pulang Hassan ke negara asal memandangkan terdapat ribuan pelarian Syria di negara ini.

“Saya cuba dapatkan maklumat daripada UNHCR, sama ada lelaki ini dijaga kebajikannya dan dinyatakan bahawa individu ini sudah didaftarkan. Saya perlu tahu berkaitan perkara ini, dia (Hassan) adalah individu yang sudah didaftarkan dengan mereka.

“UNHCR mengesahkan dia (Hassan) didaftarkan dalam sistem mereka, sudah tentu dia termasuk dalam perlindungan sebagai seorang pelarian. Beliau mempunyai hak sebagai pelarian, berikannya peluang untuk tinggal dalam negara ini,” katanya kepada FMT.

Data UNCHR pada Februari tahun lalu menunjukkan terdapat seramai 1,878 warga Syria menjadi pelarian di Malaysia. Mereka adalah antara 3,000 pelarian Syria yang dijanjikan perlindungan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober 2015.

Hassan ditahan pihak berkuasa selepas terkandas di KLIA2 selama 7 bulan sejak 7 Mac lepas apabila beliau dihalang menaiki penerbangan ke Ecuador.

Hassan didakwa dikehendaki pihak berkuasa Syria kerana enggan menjadi tentera kerana tidak mahu terlibat dalam perang saudara yang tercetus di negara itu.

Bekas jurujual itu sebelum ini bekerja di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tetapi dihantar pulang ke Malaysia kerana visanya tidak diperbaharui.

Gerald pada masa sama menyifatkan tindakan pihak berkuasa menahan dan berhasrat menghantarnya pulang ke negara asal tidak wajar memandangkan beliau merupakan individu yang mencari perlindungan.

“Dia masih berada di Malaysia dan itu adalah petanda baik bahawa beliau tidak lagi dihantar pulang. Saya nasihatkan kerajaan tidak menghantarnya pulang kerana keadaan di Syria juga tidak begitu aman. Tunggu hingga siasatan menyeluruh bersama UNHCR selesai,” kata beliau.