10 remaja didakwa rogol gadis 13 tahun

TAIPING: Seramai 10 remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berumur 13 tahun, bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret, Mohd Hairol Jemain dalam prosiding tertutup.

Pegawai pendakwa polis, Siti Nor Rasyidah M Nadzri ketika ditemui pemberita berkata, semua remaja berumur 15 hingga 17 tahun tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah kosong dan beberapa lokasi di Kamunting antara 9.30 pagi hingga 3.30 petang, pada 18 hingga 25 September lalu.

Katanya, kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

“Mahkamah menetapkan jaminan ke atas semua remaja itu antara RM3,500 hingga RM6,000 dan seorang penjamin, dengan syarat mereka tidak boleh mendekati dan menganggu mangsa sepanjang prosiding berlangsung sehingga kes selesai,” katanya sambil menambah semua tertuduh diwakili M Kathan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Rasyidah berkata, kes itu disebut semula pada 28 November ini untuk lantikan peguam dan laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Perak.