Ahli keluarga terkejut anak Azeez ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Adik kepada Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Datuk Abdul Mutalif terkejut anak abangnya ditahan Suruhanjaya Penegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengatakan dia tak tahu tentang tangkapan yang berlaku kurang 2 jam selepas Azeez dibebaskan.

“Saya tidak tahu. Siapa? Bila? Mereka nak apa lagi? Saya kena buat semakan dahulu,” kata Ketua Umno Petaling Jaya itu kepada FMT dalam nada terkejut.

Mutalif dihubungi untuk mengesahkan laporan media yang melaporkan anak lelaki Azeez berusia 24 tahun ditahan pada 12.00 tengah hari tadi selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Media tidak menamakan lelaki itu tetapi dia ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek bernilai jutaan ringgit.

Pada 25 September lalu, Azeez, abangnya serta sepupu mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes sama. Azeez dan abangnya dibebaskan daripada tahanan reman 1 hari hari ini.

Peguam mereka, Datuk K Kumaraendran berkata anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dan 2 penjamin.