Anwar, Saiful bersolat Jumaat di masjid sama

PORT DICKSON: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Bebas Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini “terserempak” apabila kedua-dua mereka menunaikan solat Jumaat di masjid yang sama.

Calon bebas dan calon Pakatan Harapan (PH) itu tiba di Masjid Depot Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) pada pukul 12.50 dan 1.05 tengah hari.

Kedua-dua calon dilihat beramah mesra bersama jemaah masjid yang majoritinya anggota tentera sebelum duduk berasingan bagi mendengar kutbah Jumaat bertajuk “Perjuangan Menegakkan Akidah” yang disampaikan oleh khatib, Mejar Anuar Mohd Ehwal.

Solat Jumaat itu disertai 800 jemaah termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Ibrahim Ali.

Saiful yang juga bekas pembantu peribadi Anwar merupakan antara 7 calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Selain Anwar dan Saiful, PRK itu turut disertai calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan 4 calon bebas lain termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Sementara itu, Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas solat Jumaat itu berkata kehadirannya ke Port Dickson hanyalah sebagai pemerhati dan menafikan akan berkempen untuk Anwar.

“Sebagai pemerhati politik berpengalaman, saya berpendapat Anwar akan menang mudah…orang Port Dickson tahu dia bakal perdana mentari yang ke-8, tolak Anwar ibarat menolak rezeki.

“Saya banyak kali bertanding sebagai calon bebas dan saya tak pernah menang…di sini pun saya percaya perkara sama akan berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, kehadiran bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu mengejutkan Anwar ketika beliau sedang berjalan keluar daripada dewan solat.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lepas bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lepas, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43% pengundi Melayu, Cina (33%), India (22%) dan lain-lain kaum (2%).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober hari pengundian dan 9 Oktober hari pengundian awal.