Bekas pengerusi Tabung Haji bebas reman

Abdul Azeez Abdul Rahim (tengah) disambut penyokongnya di luar Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA: Bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya yang direman bagi membantu siasatan kes menerima rasuah, dibebaskan hari ini.

Majistret, Ahmad Afiq Hasan membenarkan 2 beradik itu dibebaskan, selepas tamat tempoh reman hari ini.

Peguam mereka, Datuk K Kumaraendran berkata, anak guamnya dibebaskan dengan jaminan RM1 juta dan 2 penjamin masing-masing.

Terdahulu, Azeez yang berbaju biru muda tiba di mahkamah sekitar 9.40 pagi dengan tangan bergari. Beliau disambut kira-kira 130 penyokong dibawa khas dari Baling, Kedah.

Sumber memberitahu 3 bas yang membawa penyokongnya tiba seawal 7.15 pagi dan menunggu ketibaannya di pintu masuk utama Mahkamah Majistret Putrajaya.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam.

Azeez bersama abangnya, Abdul Latif dan sepupu mereka, Mohamad Nazri Osman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 25 September lalu bagi membantu siasatan kes menerima rasuah.

Mereka bertiga kemudiannya direman 4 hari bermula 26 September lalu.

Sabtu lalu, Nazri dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan 2 penjamin, selepas SPRM tidak meminta lanjutan reman, tetapi Azeez dan Latif dilanjutkan reman 6 hari lagi.

Pada 23 Mei lalu, SPRM merampas wang tunai RM500,000 dari rumah Azeez di Baling, Kedah dan Subang, Selangor serta pejabatnya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dalam siasatan ke atas pelantikan kontraktor untuk projek TH.

Selain wang tunai, katanya, SPRM turut merampas jam tangan dan pelbagai mata wang asing.