Bersih Sabah: Jangan guna program kerajaan bagi tujuan politik

Poster menunjukkan program anjuran Warisan dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman dikenali sebagai ketua Pemudanya. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Bersih Sabah menggesa semua parti politik mewujudkan garis panduan jelas bagi mengasingkan program mereka dan acara anjuran kerajaan.

Ahli sekretariat Bersih Sabah, Asraf Sharafi berkata, mereka bimbang dengan poster pelancaran Pameran Pekerjaan dan Keusahawanan Sabah yang dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman serta Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Ariffin Asgali yang menyatakan program itu anjuran Warisan dengan kerjasama kerajaan pusat dan negeri.

Dalam poster itu, Azis dikenali sebagai ketua Pemuda Warisan dan logo parti turut tertera sebagai penganjur utama.

“Pengasingan program anjuran parti politik dan kerajaan penting bagi menggerakkan agenda kerajaan untuk menjadikan negara lebih demokratik.

“Pengasingan ini penting bagi mengelakkan parti menggunakan jentera dan dana kerajaan bagi kepentingan diri dengan bersembunyi di sebalik program anjuran kerajaan.”

Sehubungan itu, Asraf menggesa semua pegawai kerajaan mendukung prinsip keberkecualian pentadbiran dan menghalang sebarang unsur paksaan atau ancaman menyalahgunakan sumber awam demi manfaat parti politik tertentu.

Katanya, idea Malaysia Baru tidak patut terhad kepada parti politik saja kerana semua rakyat mempunyai tanggungjawab memantau semua aktiviti dijalankan kerajaan dan parti politik dalam kerajaan hari ini.

“Kerajaan baru perlu lebih berhati-hati tidak menggunakan dana kerajaan sesuka hati kerana ia milik rakyat yang mengundi untuk perubahan.

“Bersih Sabah berharap mereka yang mempunyai kuasa dalam kerajaan hari ini akan memastikan kejadian sama tidak berulang kelak.”