Caj perundingan perubatan: KKM tunggu maklum balas 2 kementerian lain

Sebelum ini kertas cadangan menaikkan caj antara RM35 dan RM125 daripada RM10 dan RM35, yang tidak disemak hampir 12 tahun, diserahkan kepada KKM. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu maklum balas daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berhubung cadangan kenaikan kadar caj perundingan pengamal perubatan dan doktor bagi perkhidmatan di klinik dan hospital swasta di seluruh negara.

Menterinya Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia bagi membuat semakan harga sebelum dibentang ke Kabinet.

“Hasil maklumat yang diterima oleh KKM adalah berdasarkan perbincangan dalam sesi ‘town hall’ oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan pelbagai kumpulan berkepentingan.

“Perkara ini telah kami bincang dalam ‘post cabinet’ dan akan kami angkat ke Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Persidangan Kejururawatan Antarabangsa di sini, semalam.

Sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Azman Abu Bakar dalam “Sesi Town Hall: Konsultasi Pihak Berkepentingan Bagi Cadangan Semakan Caj Pengamal Am” pada 27 Ogos telah menyerahkan kertas cadangan semakan caj perundingan kepada KKM.

Ia mencadangkan kenaikan caj antara RM35 dan RM125 daripada RM10 dan RM35, yang tidak disemak hampir 12 tahun.