DBKL keluar 243 kompaun terhadap peniaga gagal guna produk biodegradasi

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, kompaun dikeluarkan untuk mendidik peniaga menjaga alam sekitar. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan sebanyak 243 kompaun kepada premis yang gagal menggunakan produk biodegradasi kepada pengguna setakat Selasa lepas.

Khalid Abdul Samad.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata penguatkuasaan dilakukan sejak Sept 2017 untuk memberi kesedaran kepada peniaga tentang penggunaan produk biodegradasi sepenuhnya bagi menjaga alam sekitar.

“Kami mengenakan kompaun bukan bertujuan nak saman, tetapi nak didik mereka supaya tidak menggunakan barangan pakai buang daripada plastik dan bertukar kepada jenis biodegradasi yang diiktiraf oleh Sirim.

“Bagi kesalahan kali pertama, DBKL akan mengeluarkan notis amaran terdahulu dan jika mereka didapati masih melakukan perkara yang sama, maka kompaun akan dikenakan ke atas mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan penggunaan biodegradasi di sebuah pusat membeli-belah di sini, semalam.

Katanya peraturan itu termaktub dalam lesen perniagaan yang didaftarkan dengan DBKL bahawa peniaga hanya dibenarkan menggunakan produk biodegradasi bagi pembungkusan barang.

“Mereka juga tidak dibenarkan mengenakan sebarang caj tambahan bagi mengeluarkan produk biodegradasi jenis Sirim Eco 001/2016 dan Sirim Eco 009/2016 kepada pengguna,” katanya.

Khalid berkata setakat ini pihaknya berpuas hati dengan penggunaan produk biodegradasi di semua premis sekitar ibu kota.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL Datin Dr Noor Akma Shabudin berkata kompaun maksimum sehingga RM1,000 dikenakan kepada peniaga dan penjaja yang melanggar penguatkuasaan larangan pembungkusan plastik dan polisterin mulai 1 Sept 2017.

“Penguatkuasaan itu adalah tertakhluk kepada Akta Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016, Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Pasar 2016, UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016,” katanya.