Dr M: Khazanah bukan kerajaan, bebas sertai projek kereta ke-3

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menepis kritikan berhubung kemungkinan Khazanah Nasional Berhad terbabit dalam projek kereta nasional ke-3, dan berkata syarikat itu “bebas menjalankan perniagaan”.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang berkata, potensi anak syarikat Khazanah, SilTerra Malaysia Sdn Bhd menjadi rakan kongsi projek itu menimbulkan keraguan terhadap janji Putrajaya tidak akan menggunakan dana awam.

Katanya, SilTerra bukan saja milik penuh Khazanah yang dipengerusikan Dr Mahathir, tetapi juga sebuah daripada syarikat yang mengalami kerugian besar.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, mana-mana syarikat yang berminat boleh melabur dalam projek itu.

“Khazanah bukannya kerajaan. Ia adalah sebuah syarikat yang bebas menjalankan perniagaan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan AlBukhary.

Sementara itu, Dr Mahathir mempertahankan pelantikan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dalam Jawatankuasa Eksekutif Semakan Semula Lynas.

Ia selepas beberapa pihak, termasuk pemimpin MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker mempertikaikan kemampuan jawatankuasa bertindak secara adil, memandangkan Fuziah dan Wong lantang mengkritik kilang Lynas di Gebeng, Kuantan selama ini.

Perdana menteri berkata, ada ahli lain yang akan memberi pandangan mereka.

“Jawatankuasa itu bukannya dikuasai 2 orang.”

Fuziah yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama, dipilih untuk mengetuai jawatankuasa 10 anggota itu.

Ahli ekonomi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, Firdaos Rosli sebelum ini mempertikaikan keputusan memilih Fuziah mengetuai jawatankuasa itu, sedangkan isu itu di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Kilang nadir bumi di Kuantan itu menjadi tumpuan bantahan Kumpulan Hijau terhadap kebimbangan radiasi menjejaskan penduduk sekitar.