Dr M: Masih tiada keputusan cara kawal dana politik

KUALA LUMPUR: Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) belum memutuskan cara mengawal dana untuk membiayai parti politik, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata, kajian teliti perlu untuk mencari mekanisme sesuai bagi memastikan tiada unsur rasuah dalam pembiayaan parti politik.

“Parti politik memerlukan duit. Beli nasi lemak pun perlukan duit,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Presiden PH di Yayasan AlBukhary hari ini.

“(Tetapi) bukan berbilion. Kami bincang cara untuk parti politik dapatkan dana, tetapi kami tak capai keputusan, jadi kami akan kaji cara mereka beroperasi tanpa dana.”

Katanya, ada cadangan PH mencontohi model Jerman, di mana kerajaannya memberi dana kepada parti politik supaya mereka tidak perlu mendapatkan wang daripada orang ramai.

“Ada sebuah syarikat nak derma RM100 juta kepada Tabung Harapan.

“Mereka cuba derma, tapi kita tak terima, jelas nak beri tu ada hajat lain, sebab itu kita tak terima.”

Julai lalu, Dr Mahathir berkata, kerajaan mempertimbangkan pembentangan rang undang-undang dana politik bagi membendung rasuah.

Katanya, kerajaan sedang mencari contoh negara lain seperti Jerman yang parti politiknya dibiayai kerajaan.

Hari ini, Dr Mahathir berkata, formula Jerman mungkin boleh diguna pakai.

“Tetapi, ini tidak bermakna jika kerajaan membiayai parti politik, semua orang mahu menubuhkan sebuah parti untuk mendapatkan wang.

“Semua ini perlu kita kaji supaya tiada unsur rasuah apabila parti politik mengumpul dana. Jika mereka kumpul sedikit tak apa, tetapi jika mereka dapat berjuta, itu rasuah.”

Katanya, ketika PH menjadi pembangkang, mereka mengadakan majlis makan malam untuk mengutip dana.

“Tetapi, ketika itu kita tak ada kuasa, jadi kita tidak boleh membalas keputusan kerajaan.”

Sementara itu, beliau turut mempertahankan kritikannya terhadap Yahudi dengan berkata: “Saya bercakap benar, saya tak peduli.

“Saya digelar anti-Yahudi. Kenapa tak boleh kritik Yahudi, sedangkan anda boleh kritik semua orang tanpa mereka melabelkan anda? Ini yang saya tak faham.

“Adakah orang Yahudi begitu istimewa sehingga anda tidak boleh cakap apa-apa mengenai mereka, apabila mereka melakukan kesalahan seperti mengebom hospital kanak-kanak?”