Etika pemakaian baru susahkan penjawat awam negeri

PETALING JAYA: Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong membidas kerajaan Johor berhubung pindaan pakaian seragam dan etika pemakaian bagi anggota perkhidmatan awam negeri itu.

Beliau berkata mengenakan syarat pemakaian yang baru memberikan kesan yang sedikit terhadap prestasi perkhidmatan awam dan hanya menambah beban golongan itu.

“Majlis mesyuarat kerajaan negeri perlu menjelaskan rasional keputusan ini. Kenapa mesti menyusahkan guru-guru? Dan bagaimana akan kalian jelaskan penekanan kepada budaya satu kaum sahaja?” katanya di Facebook semalam.

MMKN pada 5 September memutuskan penjawat awam Johor perlu memakai baju Melayu teluk belanga, bersamping, bersongkok dan bersepatu bagi lelaki dan baju kurung dan bertudung bagi wanita pada setiap Khamis waktu bekerja.

MMKN juga membatalkan pekeliling pindaan hari pemakaian batik Malaysia bertarikh 20 Disember 2013.

“Sementara kita bersetuju pakaian tradisional Melayu unik dan menarik perhatian, tetapi hanya membolehkan anggota perkhidmatan awam memakai pakaian kebudayaan satu kaum adalah tidak perlu dalam negara majmuk kita ini,” kata Wee.