Lebih 6,000 terjunan tetapi masih gerun seperti kali pertama

Pandangan matanya tajam ke arah ekor pesawat namun, tumpuannya pada waktu itu hanya untuk mendengar perkataan ‘Go’.

Sebaik sahaja mendapat ‘lampu hijau’, Jamaludin Ismail tanpa ragu-ragu terus melompat daripada pintu pesawat yang berada pada ketinggian 2,438 meter.

Kurang 5 minit kemudian, kakinya sudah memijak bumi.

“Memang sepanjang terjun, saya tidak pernah pandang ke bawah. Selalunya pandang ekor pesawat sebab hendak mengelakkan rasa takut. Hafal petua ini kalau berminat hendak main payung terjun.

“Jangan ingat orang yang sudah mahir tidak ada rasa gerun atau gayat. Rasa itu tetap ada dan sebenarnya membantu kita untuk lebih berhati-hati supaya mematuhi semua aspek keselamatan,” katanya kepada Bernama.

Ribuan terjunan

Jamaludin, 63, yang lebih dikenali sebagai Pak Din, bukan lagi asing dalam sukan ekstrem terjunan bebas sama ada dari pesawat atau terjunan BASE (Building, Antenna, Span and Earth) kerana pengalamannya sudah melakukan 6,000 terjunan!

Bekas komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berminat dalam acara terjunan sejak berusia 24 tahun selepas menyaksikan acara payung terjun di Kem Sungai Udang, Melaka.

Kagum dengan aksi itu, beliau memasang impian untuk menjadi seorang daripada ‘mereka yang boleh melakukan terjunan’.

Ini menyebabkan anak kelahiran Mentakab, Pahang itu nekad menjalani kursus asas dan memastikan kesihatannya pada tahap terbaik bagi menyertai pasukan tersebut.

“Terjunan pertama saya ialah di Batu Berendam, Melaka. Sejak itu, terus terpikat walaupun dianggap bahaya oleh kebanyakan orang.

“Bagi saya, keseronokan berada bebas di udara bukan hanya meningkatkan adrenalin keterujaan malah menjadi ‘ketagihan’ untuk saya,” katanya.

Jamaludin berkata ketagihan itu jugalah yang menyebabkan beliau ‘tidak senang duduk’ jika tidak melakukan aktiviti terjunan dalam tempoh masa yang lama, sehingga menyebabkan beliau ‘curi-curi’ melakukannya.

Beliau pernah masuk ke dalam sebuah bangunan setinggi 36 tingkat yang masih dalam pembinaan di ibu kota semata-mata untuk melepaskan ketagihannya.

“Sebaik sahaja menjejak tanah, saya terus gulung payung terjun dan lari ke arah kawan yang menunggu berhampiran, bimbang ditangkap pekerja pembinaan kerana sedar perbuatan itu sudah dianggap menceroboh,” katanya sambil ketawa mengingatkan perbuatan lampaunya itu.

Paling tua

Walaupun bergelar penerjun paling tua di Malaysia, Jamaludin tidak pernah mendabik dada sebaliknya lebih senang menganggap dirinya sebagai ‘orang baharu’ dalam sukan ekstrem itu.

“Kita tidak boleh anggap diri sudah berpengalaman kerana ia boleh menyebabkan kita lalai dan seterusnya meningkatkan risiko kemalangan. Dalam sukan ini, semuanya perlu dilakukan secara tertib.

“Jika ada yang menggesa saya untuk terjun, saya akan minta supaya orang lain pergi dahulu. Terjunan perlu dilakukan pada masa kita benar-benar bersedia dan tenang. Jika tergesa-gesa, kesilapan mudah berlaku,” katanya.

Beliau pernah melihat penerjun udara mengalami kecederaan malah ada yang meninggal dunia akibat kecuaian yang boleh dielakkan seperti kesilapan melipat payung terjun.

Jamaludin berkata beliau juga mengalami saat-saat cemas apabila payung terjunnya dilipat secara terbalik namun, ketenangan dalam menghadapi situasi itu menyebabkan penonton tidak mengetahui beliau sebenarnya sedang mengalami kesukaran.

“Sebab itu, penting untuk kita tidak dikuasai perasaan panik. Semasa terjun, kita kena peka dengan persekitaran dan perubahan meter ketinggian. Keadaan angin juga antara perkara yang perlu dititikberatkan selain ketepatan tempat mendarat,” katanya.

Jaga kesihatan

Jamaludin menekankan setiap penerjun perlu memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan terbaik.

Sebagai ‘veteran’ dalam sukan itu, beliau juga mempunyai rutin senaman sendiri. Beliau menjadikan amalan berjogging sebagai rutin harian selain merupakan pengunjung tetap ke gimnasium bagi meningkatkan keyakinan untuk terus melakukan aktiviti sukan ekstrem itu.

“Saya juga bukanlah jenis yang sukan kawal makan. Apa yang penting adalah keseimbangan dan disiplin. Sama seperti terjunan, disiplin perlu tinggi. Setiap terjunan ada risikonya tetapi saya suka kerana bahaya itu hidup saya,” katanya.

Bapa kepada 7 anak itu memberitahu ‘langkahnya juga panjang kerana payung terjun’.

Beliau dijemput menyertai pelbagai acara terjunan di seluruh negara, yang memberinya peluang untuk bertemu ramai individu termasuk warga asing yang berkongsi minat yang sama.

Meskipun mempunyai rekod terjunan yang banyak, Jamaludin mengakui masih belum puas kerana impiannya ingin melakukan terjunan dari Menara Burj Khalifa di Dubai, yang mempunyai ketinggian sekitar 828 meter.

Beliau kini giat mencari dana untuk membolehkannya mencapai impian itu.