Pemilihan PKR: Lebih 50 ribu ahli di Kelantan, Terengganu mengundi serentak hari ini

Keputusan pengundian dijangka diketahui seawal 8.00 malam ini. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Proses pemilihan PKR di Kelantan yang melibatkan 43,200 anggota parti disahkan layak mengundi, berlangsung hari ini bagi memilih kepimpinan di peringkat pusat dan cabang di negeri ini.

Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa berkata ia melibatkan 14 cabang tempat mengundi iaitu Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tumpat, Ketereh, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Gua Musang.

“Pemilihan bermula pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang dan proses pemilihan itu menggunakan sistem undian secara digital, e-voting,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Sukirman berkata calon Ketua Cabang PKR Kota Bharu, Zinda Khalil Sastro Hasaan tidak dicabar oleh mana-mana pihak manakala di 13 cabang lain, berlaku pertandingan sehingga ada yang membabitkan pertembungan 5 penjuru bagi merebut jawatan Ketua Cabang PKR dan lain-lain jawatan dipertandingkan.

Beliau berkata Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir, yang juga Ketua Cabang PKR Ketereh, dicabar Lukman Hakim Mustapha bagi jawatan ketua cabang itu.

Sementara itu seramai 11,965 anggota PKR Terengganu turut terlibat dalam proses pemilihan parti tersebut yang berlangsung hari ini.

Ketua Koordinator Negeri Terengganu Amri Awang menganggarkan 40% daripada jumlah itu akan mengundi di 8 cabang mulai 10 pagi hingga 5.00 petang.

Katanya Kemaman mencatatkan jumlah anggota paling ramai setakat ini iaitu 2,560 orang, diikuti Besut (2,312), Kuala Terengganu (1,926), Dungun (1,347), Setiu (1,218), Hulu Terengganu (1,195), Kuala Nerus (846) dan  Marang (561).

“Calon bagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) di cabang Hulu Terengganu Kamarul Anuar Ismail telah menang tanpa bertanding kerana pencabarnya didapati tidak layak,” katanya ketika dihubungi.

Tinjauan di beberapa lokasi pagi ini mendapati proses pendaftaran berjalan lancar dan ahli PKR mula beratur seawal 9.30 pagi untuk mengundi menggunakan sistem undian digital, e-voting.

Keputusan pengundian dijangka diketahui seawal 8.00 malam ini.