PKR Selangor terima teguran Bersih, cuba elak ulangi kesalahan

Amirudin Shari berkata, PKR Selangor cuba sedaya upaya mengelakkan penggunaan jentera kerajaan dalam PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor sebelum ini.

SHAH ALAM: Setiausaha PKR Selangor, Amirudin Shari menerima teguran Bersih 2.0 yang Pakatan Harapan (PH) paling banyak melakukan kesalahan dalam pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia dan Balakong.

Katanya, beliau akan berusaha memastikan kesalahan itu tidak berulang lagi.

Menteri besar Selangor itu berkata, PKR cuba sedaya upaya mengelakkan penggunaan jentera kerajaan dalam 3 PRK di Selangor sebelum ini.

Tetapi katanya, ada program yang berlangsung dalam tempoh berkempen, diatur terlebih dahulu oleh penyandang kerusi DUN Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Baharuddin sebelum beliau meninggal dunia, tetapi ia tidak dijadikan sebahagian kempen PKR.

“Saya kira sudah kawal dengan cukup baik, khususnya di PKR Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. Ada beberapa acara yang menimbulkan persoalan, seperti di Unisel (Universiti Selangor).

“Ada beberapa acara dianjurkan untuk menarik orang ramai ke Unisel dan ia disusun sendiri penyandang DUN Seri Setia sebelum beliau meninggal dunia. Program itu tidak secara langsung menjadi platform kempen.

“Kita berusaha kurangkan ketidakseimbangan dan penggunaan aset kerajaan. Kita akan teliti supaya aspek yang tidak wajar itu tidak berlaku,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, penelitian pemantau pilihan raya itu mendapati PH melakukan paling banyak kesalahan pilihan raya dalam PRK Seri Setia dan Balakong berbanding lawan mereka.

Bersih 2.0 dalam laporan pemerhatian PRK Seri Setia berkata, PH melakukan 5 kesalahan, manakala MCA dan PAS masing-masing 4 kesalahan.

Antara kesalahan PH di Seri Setia dan Balakong ialah penyalahgunaan aset, sumber, agensi serta program kerajaan untuk meraih undi.

Kesalahan lain dilakukan PH termasuk memberi hadiah dan menyediakan makanan percuma untuk mendapatkan undi.

Tiga menteri – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada PKR, Mohamad Sabu dan Dr Dzulkefly Ahmad daripada Amanah – dilapor menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen di Balakong.

Mengenai pemilihan PKR, Amirudin berkata, beliau berpuas hati dengan proses pemilihan ketika ini, selepas kekecohan yang timbul pada peringkat awal.

“Kita ada masalah di peringkat pertama, Kedah dan Pulau Pinang, disebabkan itu kita tangguhkan proses pemilihan di Perak. Namun, selepas beberapa sesi dan yang terbaru di Johor, ada banyak diperbetulkan.

“Disebabkan itu ia memberi kepuasan hati kepada pengundi yang mengundi dalam pemilihan. Bahkan, ketika ini, ada juga calon yang memerhatikan perjalanan pemilihan.”