Polis Thai gagalkan percubaan seludup 700kg ‘Ice’ ke negara jiran

Dadah berkenaan berasal dari Wilayah Istimewa Wa di negeri Shan, Myanmar. (Gambar Reuters)

BANGKOK: Dua lelaki tempatan ditangkap di Ayutthaya, di tengah Thailand, sewaktu mereka cuba menghantar 700kg “Ice” (crystal methapheamine) dianggarkan bernilai 2 bilion baht (RM263 juta) ke selatan negara itu yang bersempadan dengan Malaysia.

Menurut Timbalan Ketua Polis Thai, Jeneral Chalermkiat Sriwoakhan, dari selatan negara itu dadah tersebut akan diseludup ke negara jiran yang tidak dinamakannya.

“Dadah berkenaan mahu diseludup ke negara jiran, yang digunakan oleh (sindiket) sebagai destinasi transit. Dari negara jiran ini, ia akan diagihkan ke pasaran (luar) lain,” katanya kepada media berhubung rampasan terbaru dadah tersebut.

Dua lelaki terbabit, berumur dalam lingkungan 20-an, ditangkap 2 hari lepas di sebuah gudang di Bang Pra-in, Ayutthaya bersama-sama dadah tersebut yang dibungkus seperti bungkusan teh.

Berdasarkan siasatan awal, salah seorang daripada yang ditangkap berasal dari salah sebuah wilayah di selatan negara itu, kata Chalermkiat, dan menambah dadah berkenaan berasal dari Wilayah Istimewa Wa di negeri Shan, Myanmar.