RM85 juta bina Akademi Mokhtar Dahari, Syed Saddiq mungkin panggil SPRM

Syed Saddiq berkata, terdapat ratusan kerosakan di akademi berkenaan, malah sehingga hari ini pusat berkenaan tidak mempunyai pakar nutrisi.

BUKIT JALIL: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan akan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kos pembinaan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) sebanyak RM85 juta.

Saddiq berkata, kos pembinaan akademi berkenaan sudah menelan belanja besar, namun jumlah wang yang dibelanjakan tidak setanding dengan kualiti dan fasiliti yang diterima peserta di akademi itu.

“Saya sendiri akan nilai dan lihat, kalau perlu pengauditan akan dibuat dan kalau perlu siasatan dibuat, kita akan maklumkan pada pihak SPRM. Dalam bab ini saya agak serius,” katanya.

“Kita hendak setanding dengan Jepun, Korea atau kelab Bayern Munich, tetapi perkara asas masih tidak mencukupi,” katanya sewaktu ditemui pemberita selepas sesi dialog Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) di Bukit Jalil, semalam.

Akademi berkenaan dibina pada 2016 di Gambang, Pahang dengan peruntukan sebanyak RM85 juta dengan
matlamat awal membawa dimensi baru dalam bola sepak negara dengan latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat di peringkat antarabangsa.

AMD juga dilihat sebagai pusat untuk pemain muda terbaik dari pelosok negara menimba ilmu dan kemahiran dalam sukan bola sepak.

Saddiq berkata, beliau dimaklumkan sudah ratusan kerosakan yang berlaku di akademi berkenaan, bahkan sehingga ke hari ini pusat berkenaan tidak mempunyai pakar nutrisi.

“Akademi berkenaan sepatutnya menjadi pusat kecemerlangan, tetapi tidak sampai 2 tahun, beratus-ratus kerosakan berlaku. Saya dimaklumkan hendak dapatkan pakar nutrisi juga tidak ada.

“Bukan itu sahaja peralatan asas juga tidak mencukupi. Ia harus diselesaikan secepat mungkin dan saya sendiri sudah membincangkan perkara ini dengan Majlis Sukan Negara,” katanya.

Mengulas isu berkaitan pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim, Saddiq berkata pertemuan “empat mata” antara mereka berdua berjalan dengan baik, tetapi enggan menjelaskan lebih lanjut.

“Pertemuan pagi tadi bagus, kalau ada apa-apa sudah tentu dia (Teong Kim) sudah maklumkan kepada rakan media. Saya bukan sahaja bertemu dengannya, tetapi juga dengan semua jurulatih lain,” katanya.

Ironisnya, walaupun Teong Kim masih merupakan pengarah AMD, kelibat beliau tidak kelihatan dalam program NFDP sedangkan ia turut dihadiri para jurulatih dari seluruh negara.

Teong Kim “hilang” pada sesi dialog

Saddiq ketika ditanya berkaitan perkara itu meminta isu tersebut ditanyakan sendiri kepada Teong Kim, iaitu apakah sebabnya beliau “hilang” dari program berkenaan.

“Nama saya bukan Teong Kim. Adalah lebih baik jika tanya dia,” katanya ringkas.

Saddiq sebelum ini dikecam kerana mendedahkan gaji Teong Kim sambil meminta jurulatih itu bertanggungjawab ke atas kegagalan pasukan negara dalam kempen Piala AFC B-16.

Ia susulan pasukan pimpinan Teong Kim gagal melepasi sasaran yang ditetapkan, sebaliknya hanya berjaya di peringkat kumpulan sekali gus tidak layak ke suku akhir Kejohanan AFC bawah 16 tahun.

Saddiq tetap dengan pendirian untuk menilai semula pakej gaji RM175,000 yang diterima Teong Kim di bawah program NFDP.

Teong Kim dilantik sebagai pengarah NFDP pada 2013, sebelum turut dilantik sebagai pengarah Akademi Mokhtar Dahari pada 2016.

NFDP yang dilancarkan pada 10 April 2014 adalah hasil cetusan idea bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin yang mahu melahirkan ramai pemain bola sepak bertaraf dunia secara konsisten.

Pada kelayakan Piala Dunia B-17 2019 di Peru, skuad negara melakar kemenangan pada saingan pembuka tirai dengan menewaskan Tajikistan 6-2, tetapi kemudian tewas 4-2 di tangan Thailand dan ditundukkan Jepun 2-0.

Kekalahan itu meleburkan harapan skuad untuk mengulangi pencapaian anak didik S Balachandran yang hanya selangkah ke Piala Dunia B-17 2015 di Chile apabila tewas tipis 2-1 kepada Australia pada suku akhir yang diadakan di Thailand pada 2014.