Rokok warung kecil tetap kena SST, kata kementerian

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan berkata rokok yang dijual di warung kecil, kedai makanan dan minuman serta kedai runcit tetap akan dikenakan cukai jualan 10% sama seperti di restoran dan semua tempat lain yang menjual rokok.

Menteri Dzulkefly Ahmad berkata tiada mana-mana tempat yang menjual rokok akan terkecuali daripada dikenakan cukai jualan 10% kerana ia tertakluk kepada Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Penjualan produk tembakau mesti mendapat kelulusan pihak KKM. Kelulusan ini mengambil kira Peraturan 8A (2B) dimana harga produk tembakau mesti dinaikkan apabila sebarang cukai dikenakan. Ini termasuk SST,” katanya kepada FMT.

Demikian itu, harga rokok sudah tentu akan meningkat 10% dengan pengenaan cukai ini, kata Dzulkefly.

Sementara itu, kementerian ketika ini sedang merangka harga baru jualan rokok dan ia sudah dibentangkan kepada Kabinet minggu lalu.

“Cukai 10% ini akan dikekalkan bukan sahaja di restoran tapi semua. Kami jangka rokok import naik 1.30 dan tempatan 0.90,” katanya.

Bulan lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan penjualan rokok di kedai warung kecil dan kedai makanan dan minuman yang tidak mencapai nilai ambang sebanyak RM500,000 setahun akan diberi pengecualian SST.

Susulan itu ada pihak mempertikai pengumuman tersebut kerana dianggap tidak selari dengan langkah kementerian yang mahu menguatkuasakan larangan merokok di restoran terbuka Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Galen Azrul Mohd Khalib berkata pengumuman Lim itu bercanggah dan mengelirukan memandangkan Putrajaya berpegang dengan pendirian “anti-merokok”.