Saya mahu pergi sekolah, mahu jadi cikgu, kata wanita dipaksa kahwin muda

Sail Ayu berkata, sekiranya tidak dipaksa kahwin muda, cita-citanya menjadi guru mungkin telah tercapai. (Gambar Ihsan Sawo)

KOTA KINABALU: Masa puluhan tahun mungkin telah berlalu, namun kepedihan dipaksa kahwin pada usia 13 tahun masih dirasai suri rumah Sail Ayu.

“Saya tidak tahu apa-apa. Hanya orang itu datang. Saya tidak pakai baju dalam pun. Saya disuruh pakai pakaian untuk bersanding, tapi saya tidak tahu apa itu kahwin.

“Kami pakai baju biasa. Gambar kahwin pun tidak ada. Suami saya pun saya tidak kenal,” katanya sambil menyeka air mata dalam satu temu bual video dengan Sabah Women Action-Resource Group (Sawo) di rumah beliau di Tenom.

Berasal daripada keluarga miskin di Kemabong, Tenom, Sail yang kini berusia 59 tahun berkata, sebelum hari yang ditakdirkan itu berlaku, beliau sentiasa bercita-cita mahu meneruskan pelajaran ke sekolah menengah.

Beliau suka belajar dan keputusan yang diperolehi adalah lebih baik daripada rakan sekelasnya yang lain.

Sail mahu menjadi guru.

Pada hari perkahwinannya, beliau ketakutan dan menangis sepanjang hari.

“Bapa saya nampak saya menangis, dia rotan saya. Saya beritahunya, ‘Bapak, saya mahu pergi sekolah’. Saya pegang emak, saya beritahu, ‘Mama pujuk Bapak, saya mahu ke sekolah.’ Bila bapa dengar, dia pukul saya lagi,” katanya.

Sail tahu beliau tidak bersedia untuk berkahwin dan terlalu kecil untuk memahami erti perkahwinan.

Masa depan dan pengalaman hidupnya menjadi sangat sukar sehingga ada waktunya kesihatan mental beliau terganggu.

Ketika mencecah usia 20 tahun, beliau beberapa kali berfikir mahu membunuh diri, malah cuba melakukannya sebanyak 2 kali.

“Pada waktu itu saya memang mahu bunuh diri, tetapi saya tidak berani. Kalau saya minum racun, anak saya yang pertama siapa yang jaga? Saya tidak lupakan itu, tetapi apa boleh saya buat? Mungkin itu takdir Tuhan untuk saya,” katanya.

Sail mengakui berasa cemburu melihatkan bekas rakan sekelasnya kemudiannya menjadi guru dan jururawat.

Suami Sail berusia 16 tahun ketika mereka berkahwin. Mereka mempunyai 4 anak. Suaminya telah meninggal dunia.

“Selama ini saya tidak pernah bercakap tentang perkara ini kepada orang lain. Tetapi sekarang saya berasa boleh melakukannya. Dulu saya sangat kecewa.

“Kalau tidak dipaksa kahwin awal, mungkin suami tidak mengahwini saya. Saya mungkin berada di tempat lain yang lebih baik. Saya tidak salahkannya. Apa yang boleh kami buat?

“Walaupun saya kecewa dipaksa kahwin, tetapi saya bersyukur atas pemberian Tuhan. Mungkin Tuhan campur tangan dalam hidup saya. Saya ditimpa banyak rintangan dan masalah tetapi saya bersyukur.

“Saya sentiasa kuat. Semua yang saya alami, saya sudah maafkan mereka. Saya gembira,” katanya.

Setiausaha Sawo, Yasmin Ooi memberitau FMT pertubuhan itu berasa perlu untuk menerbitkan video tersebut kerana terdapat ahli politik, pembuat dasar, pegawai awam dan individu yang masih berfikir perkahwinan kanak-kanak boleh diterima sebagai jalan keluar daripada masalah kemiskinan atau untuk menjaga maruah keluarga atau hanya kerana budaya membenarkannya.

“Apabila timbul keresahan dalam masyarakat atau bantahan daripada pertubuhan sivil serta individu, ahli politik serta pembuat dasar dan pegawai awam ini meminta kajian dijalankan oleh pakar.

“Sawo mahu bertanya tentang pakar yang mereka maksudkan. Selalunya wanita dan kanak-kanak yang kahwin muda ini tidak pula dirundingi.

“Sepatutnya mangsa perkahwinan kanak-kanak inilah yang menjadi pakar mengenai isu yang mahu dikaji,” katanya.

Justeru keadaan itu kata beliau, Sawo mahu membantu membawa suara pengantin kanak-kanak supaya semua pihak, termasuk pemimpin agama dan ahli politik, mendengar sendiri perasaan kanak-kanak terbabit.

“Kami mahu mereka faham tentang apakah yang berlaku atau tidak berlaku ke atas kehidupan pengantin kanak-kanak itu setelah mereka dipaksa berhenti sekolah dan berkahwin pada usia muda. Dalam kes Sail, 13 tahun,” kata beliau.

Dua minggu lepas, Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar menerima kritikan keras daripada pertubuhan wanita dan parti politik seperti Umno selepas beliau mencadangkan umur perkahwinan orang Islam diturunkan kepada 14 tahun bagi perempuan dan 16 tahun bagi lelaki.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal pada waktu itu tidak menyatakan sikap berhubung isu berkenaan sebelum mengakui beliau kadang-kadang berasa umur 18 adalah “sedikit lanjut”.

Beliau kemudiannya berkata cadangan Bungsu tidak akan dipertimbangkan dan kerajaan negeri akan mematuhi undang-undang sedia ada.

Di Sabah, umur perkahwinan bagi orang Islam ialah 16 bagi perempuan dan 18 bagi lelaki, tetapi mana-mana orang yang mahu berkahwin pada usia lebih rendah boleh mendapatkan kebenaran ibu bapa dan Mahkamah Syariah.